KUALA LUMPUR, 21 April 2025 – Cabaran getir menanti skuad negara dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 apabila Malaysia diundi dalam kumpulan yang sama dengan Thailand, gergasi dunia, bagi acara double. Kumpulan B turut dianggotai oleh Taiwan dan Nepal, menjadikan laluan Malaysia ke peringkat akhir lebih mencabar.

Bagi acara kuadran, nasib Malaysia lebih baik apabila diletakkan dalam Kumpulan B bersama Jepun, China, dan Filipina. Sementara itu, Kumpulan A menyaksikan Vietnam, Singapura, Korea, dan Pakistan bersaing sengit. Dalam acara regu berpasukan, Malaysia akan memulakan kempen menentang Filipina, Nepal, dan Singapura dalam Kumpulan D.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, menyatakan bahawa undian ini merupakan pendekatan baharu bagi memberi peluang kepada semua pasukan membuat persiapan rapi. “Kami menyediakan platform siaran langsung undian agar proses lebih telus dan membantu pasukan merancang strategi,” katanya.
Malaysia menetapkan sasaran tinggi untuk mara ke empat final, terutamanya dalam acara double dan regu, yang pernah membawa kejayaan di Piala Dunia tahun lalu. “Kita bermain di gelanggang sendiri, di depan penyokong. Ini peluang terbaik untuk membuktikan keunggulan,” tegas Datuk Sumali.
Tahap persiapan pemain kini berada pada 80-90 peratus selepas penambahbaikan dilakukan pasca Kejohanan Dunia di India. “Pemain sudah ditetapkan untuk acara masing-masing agar mereka boleh fokus sepenuhnya dalam baki masa sebulan ini,” ujarnya.
Kejohanan ini dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur dari 10 hingga 18 Mei. Dengan sokongan padu penyokong tempatan, harapan tinggi diletakkan pada skuad negara untuk mencipta kejayaan bersejarah.




