
KUALA LUMPUR, 10 Mei 2025 – Tirai pencalonan bagi Pemilihan Majlis Pimpinan Pusat PKR telah pun dilabuhkan semalam dengan satu kejutan besar: pertandingan antara Naib Presiden PKR yang juga Menteri Kabinet, YB Rafizi Ramli, dan Nurul Izzah Anwar, anak kepada Presiden parti merangkap Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pemilihan kali ini dijangka menjadi titik tolak penting kepada hala tuju PKR dan mungkin juga menentukan wajah kepimpinan negara pasca era PMX. Apa yang menjadi tumpuan bukan sekadar pertarungan dua tokoh muda berpengaruh ini, tetapi juga naratif yang sedang dibina – antara idealisme reformasi dan persoalan nepotisme.
Menurut Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, pemilihan PKR kali ini berbeza daripada sebelumnya kerana parti kini berada dalam kerajaan. “Sindrom ‘power struggle’ sedang melanda kerana semua calon menyedari bahawa kemenangan mungkin membawa kepada jawatan, kuasa dan peluang menjadi calon dalam PRU16,” katanya.
Sementara itu, peringkat cabang dilaporkan menunjukkan banyak kekalahan di kem Rafizi, namun siri “road tour” beliau yang dijangka bermula minggu hadapan mungkin menjadi ‘buah pukul’ untuk mengubah arus sokongan. Di pihak Nurul Izzah pula, kempen yang dikatakan membawa elemen ‘nepotisme’ dijangka menjadi isu panas dalam kalangan perwakilan.
Pemilihan kali ini turut diperhatikan oleh rakan komponen dalam kerajaan Madani, termasuk UMNO. “Apa jua keputusan pada 24 Mei ini pasti membawa impak kepada landskap politik nasional,” ujar Datuk Gulam.
Siapa bakal muncul sebagai pewaris kepimpinan PKR selepas PMX – adakah calon yang menolak budaya warisan politik, atau sebaliknya – hanya masa yang akan menentukan.
#PKR2025 #RafiziVsNurul #PemilihanPKR.#PolitikMalaysia #ReformasiAtauNepotisme #TeamRafizi #TeamNurul #PKRDiPersimpangan #RoadToPRU16 #KuasaDanRakyat