KUALA LUMPUR, 10 September 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil mendesak pihak berkuasa khususnya Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap sebuah syarikat yang dipercayai menawarkan skim pelaburan Pulangan Sewa Terjamin – Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa memenuhi ciri-ciri skim kepentingan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang terperangkap dalam skim berisiko tinggi itu. Seramai 69 pemilik unit hartanah dilaporkan menjadi mangsa, melibatkan nilai keseluruhan lebih RM43.7 juta.

“Ramai mangsa mengakui mereka hanya bersetuju membeli unit hartanah selepas terpedaya dengan janji syarikat yang menawarkan pulangan sewa setiap tiga bulan, selain jaminan pembelian semula unit mengikut harga pasaran. Namun, terma GRR langsung tidak dimasukkan dalam perjanjian pembelian,” katanya.

MHO menegaskan bahawa konsep GRR yang kembali dipromosikan oleh pelbagai syarikat kini sangat berisiko kerana tidak dikawal selia mana-mana agensi penguatkuasaan. Modus operandi termasuk janji pulangan sewa tinggi antara 8% hingga 12% setahun, selain tawaran pengurusan penuh tanpa perlu campur tangan pelabur.

Tambah beliau, skim GRR ini bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh menjerat lebih ramai pelabur jika tidak dibendung. “Kita tidak mahu sejarah berulang seperti kes yang pernah dilaporkan The Edge Malaysia pada 2009, apabila banyak syarikat ‘shell company’ menggunakan konsep sama untuk menipu pelabur sebelum melarikan diri atau melakukan voluntary winding up,” jelasnya.

MHO kini menggesa pihak berkuasa untuk:

Menyiasat segera syarikat-syarikat yang menawarkan skim GRR tidak sah.

Mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang terlibat.

Menggubal langkah pencegahan bagi mengelakkan lebih ramai rakyat terjerat.


“Mangsa kini menanggung hutang tinggi, malah ada yang hampir muflis. Kami mahu hak mereka dilindungi sepenuhnya,” tegas Hishamuddin.

#SkimPelaburan #GRRScam #PelaburTertipu #HakMangsa #MHO #PelaburanBahaya #SSM #PulanganSewa #KeadilanPelabur #BeritaSemasa

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f