KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr Azam Rauzan memberi teguran keras terhadap tindakan Naib Ketua Pemuda MIC yang dilihat menghadiri program bersama parti BERSATU.
Menurut beliau, tindakan tersebut disifatkan sebagai “kurang ajar” dan mencabar kesetiaan dalam komponen Barisan Nasional (BN).
“Dalam budaya politik Melayu, itu kurang ajar namanya. Orang yang kurang ajar ni, kita kena ajar. Caranya panggil mesyuarat BN, jangan diam, jangan berlakon,” tegas beliau.
Dr Azam turut mengingatkan bahawa tindakan “bermain dua kolam” boleh mengundang bahaya kepada perpaduan BN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Beliau menempelak kewujudan “DNA pengkhianat” dalam kalangan parti komponen seperti MIC atau MCA yang boleh melemahkan BN.
“Kita jangan terjebak dengan drama panjang yang akhirnya memerangkap akar umbi. BN perlu tegas. Kalau MCA atau MIC nak pergi bersama pihak lain, silakan. Buktikan berapa kerusi mereka mampu menang. BN akan terus bersama rakan-rakan baharu termasuk Friends of BN,” katanya.
Azam turut mencadangkan agar BN melakukan reformasi dalaman dengan membuka ruang kepada parti lain termasuk DAP atau PKR untuk memperkukuhkan gabungan politik tersebut.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mengambil tindakan segera.
#UMNO #BN #MIC #PolitikMalaysia #AzamRauzan #PRU16 #PRNSabah #BarisanNasional #DNA_Pengkhianat #PolitikTanpaDrama