MHO Serah Surat Mohon Perkembangan Siasatan Kes Pelaburan Forex

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) bersama ratusan mangsa tampil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini bagi menyerahkan surat rasmi memohon perkembangan terkini siasatan berhubung satu skim pelaburan forex yang disyaki sebagai penipuan, melibatkan kerugian dianggarkan sebanyak RM104,741,610.07.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Bin Hashim, seramai 386 individu telah tampil membuat aduan kepada pihaknya sejak tahun 2024, mendakwa ditipu oleh dua individu – seorang warga Malaysia dan seorang lagi warga Indonesia – yang dipercayai dalang utama skim pelaburan berkenaan.

“Mangsa-mangsa bukan sahaja diperdaya dengan janji keuntungan lumayan, malah modus operandi licik turut digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa ketika siasatan dijalankan. MHO hari ini menyerahkan dokumen tambahan, termasuk senarai nama saksi yang sudi tampil membantu pihak polis untuk memperkukuh siasatan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada individu-individu yang mempunyai kaitan rapat dengan dalang utama kerana tampil memberikan kerjasama kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pertemuan tersebut, MHO bersama mangsa menggesa agar Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman memberi komitmen sepenuhnya bagi memastikan siasatan telus, menyeluruh dan membawa pelaku ke muka pengadilan.

“Mangsa-mangsa berharap hasil siasatan ini bukan sahaja menegakkan keadilan, tetapi juga mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem perundangan dan penguatkuasaan undang-undang negara,” tambahnya.

Kes ini terus mendapat perhatian umum memandangkan nilai kerugian yang sangat besar serta jumlah mangsa yang terjejas.

#SkandalForex #MangsaTertipu #KeadilanUntukMangsa #MHO #BukitAman #JenayahKewangan #ForexScam #SiasatanPolis #KembalikanKeadilan #StopScam

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f