KUALA LUMPUR – Mega Star Arena menjadi saksi kepada malam yang penuh sejarah, apabila empat ikon muzik tanah air Ziana Zain, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu dalam konsert luar biasa bertemakan kekeluargaan menerusi Empat Live In Kuala Lumpur 2025.
Dianjurkan oleh Anuar Zain Network bersama Altus ProHouse, konsert yang pertama seumpamanya dalam sejarah hiburan Malaysia ini mengangkat nilai persaudaraan seni, menyatukan dua generasi penyanyi hebat dalam satu persembahan yang sarat dengan emosi, kehangatan dan kekuatan vokal tiada tandingan.
Malam yang dihadiri kira-kira 4,500 peminat setia ini membawa penonton menyelusuri perjalanan muzik yang bukan hanya menghiburkan, tetapi menyentuh jiwa.
Lebih 21 buah lagu termasuk medley disampaikan secara eksklusif oleh keempat-empat penyanyi utama dalam susunan yang dirancang teliti oleh Pengarah Muzik, Sze Wan, dan diarah penuh cermat oleh Jennifer Thompson.

Syamel tampil dengan “Beribu Tanda Tanya”, sebuah lagu baharu yang dirakam jauh di Manchester.
Lagu itu diilhamkan daripada cabaran mental dan emosi yang sering dihadapi oleh generasi kini khususnya mereka yang terperangkap dalam dunia fikiran sendiri.
Ia jelas membuktikan kedalaman kreativiti Syamel yang kini berada di fasa matang sebagai penyanyi dan pencipta lagu.
Antara detik paling menyentuh perasaan adalah apabila Ernie Zakri secara spontan mencabut undian lagu dan menyerahkan lagu “Dingin” kepada Ziana Zain untuk disampaikan.
Persembahan itu, yang menggabungkan kelembutan dan keteguhan vokal Ziana, menjadi antara momen paling diingati malam itu.

Ziana turut memberikan persembahan bertenaga menerusi lagu “Hidup Dalam Mati”, manakala gandingannya bersama Anuar Zain dalam lagu duet klasik “Menadah Gerimis” benar-benar menggamit emosi penonton.
Chemistry mereka tidak dapat disangkal, mengingatkan khalayak kepada era kegemilangan pop klasik Malaysia.
Ernie dan Anuar pula memukau dengan gabungan duet “Sesucinya Cintamu” dan “Jangan Marah”, yang memperlihatkan keseimbangan harmoni antara dua vokal dari generasi berbeza.

Tidak ketinggalan, lagu “Gundah” yang dinyanyikan Ernie memperkuatkan elemen kerjasama kreatif antara mereka.
Susunan muzik yang mantap dilaksanakan oleh barisan pemuzik profesional seperti Wan Gigi (gitar), Derrick Siow (dram) dan Ken Chung (bass), dibantu oleh seksyen gesekan dan vokal latar yang memberikan lapisan tekstur muzik yang kaya dan memukau.
Penyanyi latar seperti Jad Lobo, Baby Akmal dan Widy memainkan peranan penting dalam memperkukuh persembahan dari segi teknikal dan artistik.
Lebih daripada sekadar hiburan, Empat Live menjadi satu manifestasi kasih sayang, persaudaraan dan penghargaan terhadap seni muzik yang membawa pengaruh besar dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Ia adalah pengiktirafan terhadap kekuatan suara, keutuhan silaturahim, dan dedikasi yang tidak berbelah bahagi terhadap dunia seni.
Konsert ini bukan hanya meraikan kejayaan individu, tetapi lebih besar daripada itu ia adalah simbol penyatuan, warisan dan legasi seni yang diteruskan dari generasi ke generasi.

Selepas tirai ditutup, yang tinggal hanyalah kenangan yang tidak mungkin dilupakan.
Penonton pulang bukan sekadar dengan rakaman video dan gambar, tetapi dengan jiwa yang penuh terisi oleh lagu-lagu yang pernah menjadi teman, pengubat dan penguat semangat sepanjang hidup mereka.

Empat Live In Kuala Lumpur 2025 bakal tercatat sebagai antara konsert tempatan paling berimpak tinggi dalam sejarah muzik Malaysia menandakan permulaan kepada sebuah era baharu konsert kekeluargaan yang menyatukan hati dan seni.