KUALA LUMPUR – ARIANI terus mengukuhkan reputasinya sebagai peneraju fesyen Muslimah di Malaysia apabila melancarkan tema WARNA LEBARAN 2026 menerusi sebuah pertunjukan fesyen berskala besar dan berprestij yang berlangsung di Conference Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).
Acara eksklusif ini dianjurkan sempena menyambut Aidilfitri dengan mengetengahkan keindahan warna sebagai elemen utama yang melambangkan kegembiraan, keanggunan serta kebersamaan dalam suasana perayaan.
Tema itu diterjemahkan secara kreatif melalui koleksi hijab dan busana raya ARIANI yang menggabungkan sentuhan moden dan elegan, selari dengan cita rasa wanita Muslimah masa kini.
Lebih 100 rekaan hijab dan busana dipersembahkan di pentas peragaan, menampilkan gabungan motif flora, inspirasi alam semula jadi serta cetakan abstrak kontemporari.

Rekaan-rekaan ini diperkaya dengan pilihan material premium dan teknik cetakan yang inovatif, menjadikan setiap helaian bukan sahaja bergaya, malah praktikal untuk digayakan sepanjang musim perayaan.
Koleksi WARNA LEBARAN ARIANI 2026 turut menyerlahkan palet warna pilihan tahun ini seperti Strawberry Matcha, Teal dan Lime Green, yang disesuaikan dengan trend semasa tanpa mengabaikan elemen klasik yang sinonim dengan jenama ARIANI.
Pertunjukan fesyen itu disaksikan oleh lebih 1,000 tetamu jemputan, termasuk pelanggan VVIP, pelanggan setia, rakan media, selebriti dan pempengaruh tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Textiles and Manufacturing (M) Sdn. Bhd., Datin Seri Farah Haryani, berkata sambutan Aidilfitri adalah detik yang sarat dengan nilai emosi dan kebersamaan.
“Persalinan baju raya memainkan peranan penting dalam mencipta kenangan bermakna bersama keluarga dan insan tersayang, sekali gus menjadikan fesyen sebagai sebahagian daripada tradisi perayaan,” katanya.

Bagi koleksi hijab, ARIANI memperkenalkan lebih 400 variasi merangkumi selendang dan tudung instant dalam rekaan polos serta bercorak.
Koleksi ini merangkumi bawal satin, twill dan voile, selain selendang dalam material cotton, satin dan chiffon, dengan sentuhan perincian seperti sulaman dan hiasan berlian yang menyerlahkan keanggunan pemakai.
Keistimewaan pertunjukan fesyen ini turut terserlah menerusi koleksi ARIANI LUXE yang menampilkan lebih 100 rekaan eksklusif.
Setiap helaian tudung premium dihiasi dengan perincian French lace serta kristal Swarovski, dihasilkan dengan ketelitian tinggi menggunakan material berkualiti.

Pelakon dan penyanyi terkenal, Elly Mazlein, tampil sebagai Muse ARIANI LUXE 2026 dengan membuka tirai pertunjukan fesyen, sekali gus memukau tetamu dengan gaya dan personalitinya yang unik.
ARIANI juga menampilkan barisan duta jenama sedia ada iaitu Lisa Surihani, Bella Dally dan Uyaina Arshad, selain memperkenalkan Fyza Kadir sebagai wajah baharu ARIANI Ready-to-Wear Premium.
Pentas peragaan turut diserikan dengan kemunculan selebriti seperti Qasrina Karim, Elisya Sandha, Cik Epal, Ammar Azman dan Madnor, manakala Mira Filzah kembali mewarnai kempen raya ARIANI bagi tahun ini.
Antara segmen yang mencuri perhatian ialah kolaborasi antarabangsa tahun kedua antara ARIANI dan jenama ikonik dari London, LIBERTY LONDON.

Kolaborasi LIBERTY X ARIANI memperkenalkan 16 cetakan eksklusif baharu yang menggabungkan corak bunga ikonik LIBERTY dengan potongan tradisional, sekali gus mengangkat keindahan warisan budaya Malaysia dalam sentuhan fesyen global.
Koleksi pakaian lelaki ARYAN turut dipersembahkan dengan menampilkan rekaan baju melayu, kurta dan jubah untuk kanak-kanak serta dewasa.
Menekankan material berkualiti tinggi dan jahitan kemas, koleksi ini diperkukuhkan lagi dengan pelantikan pelakon Bront Palarae sebagai duta baharu ARYAN.
Segmen ARIANI Ready-to-Wear (RTW) menjadi tumpuan utama apabila jenama itu mengumumkan pengeluaran sebanyak 300,000 helai busana raya bagi Aidilfitri tahun ini.

Koleksi ini merangkumi pelbagai potongan seperti baju kurung, kebaya, kebarung, kaftan dan jubah, dengan lebih 600 rekaan keseluruhan ditawarkan dalam saiz bayi hingga dewasa menggunakan pelbagai jenis material premium.
ARIANI turut mengumumkan pembukaan cawangan terbaharu di KLGCC sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan jenama dalam memperkukuh pengalaman membeli-belah pelanggan.

Komitmen terhadap kualiti, inklusiviti dan harga berpatutan terus menjadi teras jenama ini, sama ada melalui butik fizikal mahupun platform dalam talian.
Pertunjukan fesyen ini diakhiri dengan persembahan ARIANI PREMIUM yang menampilkan koleksi edisi terhad, selain hiburan daripada artis tersohor tanah air seperti Dato’ M. Nasir, Liza Aziz, Azlina Aziz, Ruffedge dan Amelina.
Kehadiran Tengku Permaisuri Hajjah Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor, menyerlahkan lagi status acara ini sebagai antara pertunjukan fesyen Aidilfitri paling berprestij di Malaysia.