Maimunah Ke PETRONAS, Fadlun Ke DBKL — Pertukaran Besar Dalam Kepimpinan DBKL!
KUALA LUMPUR, 14 November 2025 — Kerajaan hari ini mengumumkan pelantikan YBhg. Dato’ TPr. Fadlun bin Mak Ujud, 58, sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu, berkuat kuasa 15 November 2025, selepas mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Subseksyen 4(2), Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, menurut kenyataan rasmi oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.
Tokoh Perancang Bandar Berpengalaman Lebih 28 Tahun
Dato’ Fadlun merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan mempunyai rekod lebih 28 tahun dalam bidang perancangan bandar, pembangunan wilayah serta pengurusan bandar raya.
Sebelum dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur, beliau memegang jawatan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) sejak 2022, di mana beliau memainkan peranan besar memperkukuh pelaksanaan Putrajaya Smart City Blueprint 2025, Pelan Transformasi Hijau Putrajaya dan pelbagai inisiatif kesejahteraan bandar berasaskan prinsip inklusiviti dan kelestarian.
Beliau turut merupakan Ahli Lembaga Perancang Bandar dan Felo Pertubuhan Perancang Malaysia, selain aktif menyertai forum profesional di peringkat antarabangsa — menjadikan beliau salah seorang tokoh perancang bandar paling berwibawa di negara ini.
Keyakinan Tinggi Terhadap Kepimpinan Baharu DBKL
Datuk Seri Dr. Zaliha menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh agenda pembangunan Kuala Lumpur, termasuk meneruskan pelaksanaan Agenda Bandar CHASE serta usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota global yang inklusif, berdaya saing dan berdaya huni, berpaksikan nilai MADANI.
Penghargaan Buat Bekas Datuk Bandar
Dalam masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada bekas Datuk Bandar, YBhg. Dato’ Seri TPr. (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, atas sumbangan signifikan sepanjang menerajui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dr. Maimunah baru-baru ini dilantik sebagai Penasihat Hartanah PETRONAS, dan kerajaan yakin pengalaman luas beliau akan terus menyumbang kepada agenda pembangunan strategik negara.
#KualaLumpur
#DatukBandarBaharu
#AATVMedia
#DBKL
#WilayahPersekutuan
#PentadbiranBandar
#SmartCity
#MalaysiaMADANI
#IsuSemasa
#BeritaTerkini