KUALA LUMPUR, 12 November 2025 –
Malaysia Humanitarian Organisation (MHO) mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah pimpinan Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya mendedahkan jumlah sebenar kes pinjaman wang tanpa lesen (Ahlong) yang berakhir dengan status “No Further Action” (NFA) atau “covering report”, agar keadilan dapat ditegakkan kepada mangsa.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, berkata pendedahan KDN baru-baru ini mengenai 1,452 kes pinjaman wang tanpa lesen di seluruh negara dengan kerugian mencecah RM4.89 juta sehingga Oktober tahun ini adalah satu langkah baik, namun maklumat itu masih tidak lengkap tanpa menjelaskan berapa kes yang benar-benar disiasat dan berapa pula yang digugurkan tanpa tindakan lanjut.
“Kami tidak menuduh sesiapa, tapi realitinya ramai mangsa membuat laporan polis, namun kes mereka tidak dibuka kertas siasatan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951. Ada laporan yang hanya diberi status covering report atau NFA.
Bila kes tidak dibuka, ahlong terus bermaharajalela,” kata Dato’ Hishamuddin.
Beliau memberi contoh satu laporan polis yang dibuat pada 28 September 2025 berkaitan gangguan oleh ahlong, namun tiada tindakan diambil. Akibatnya, pada 8 November, mangsa yang sama dilaporkan ditahan dan dibogelkan oleh sindiket pinjaman wang haram tersebut.
“Bayangkan tekanan yang dihadapi mangsa. Ada antara mereka yang datang kepada kami dalam keadaan trauma, menangis dan mahu membunuh diri. Ini bukan lagi isu kecil, ini soal nyawa dan keselamatan rakyat,” tegasnya.
MHO turut menegaskan bahawa setiap laporan mangsa perlu disiasat secara menyeluruh dengan membuka kertas siasatan di bawah seksyen berkaitan termasuk:
Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 – pinjaman tanpa lesen,
Seksyen 506 Kanun Keseksaan – ugutan jenayah,
Seksyen 26B Akta Pemberi Pinjam Wang – gangguan di kediaman,
Seksyen 424 dan Seksyen 4(1B) AMLA – akaun keldai dan pengubahan wang haram.
Beliau mengingatkan, masalah ahlong bukan sekadar kes terpencil tetapi telah menjadi “barah masyarakat” yang semakin membiak menjadi sindiket jenayah terancang jika tidak dibendung segera.
“Masalah ini dah jadi rahsia umum (public secret). Semua orang tahu, tapi tak selesai-selesai. Hari ini jadi pada orang lain, esok mungkin pada ahli keluarga kita sendiri,” ujar beliau lagi.
MHO menyeru pihak polis, agensi siasatan dan masyarakat agar bersatu membela mangsa ahlong, bukan sekadar menunggu tragedi berlaku.
“Kami tidak mahu menghentam mana-mana pihak. Tapi bila mangsa sampai nak bunuh diri kerana tekanan, itu tandanya sistem kita gagal lindungi mereka,” katanya sambil menzahirkan harapan agar Menteri Dalam Negeri melihat sendiri isu ini dari bawah, bukan sekadar di atas kertas laporan.
#Ahlong #MHO #KDN #SaifuddinNasution #PinjamanHaram #MangsaAhlong #BeritaAATV #KeadilanUntukMangsa #JenayahKewangan #BanterasAhlong