KUALA LUMPUR, 14 November 2025 – UMNO Kedah menempelak cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang mencadangkan supaya Pulau Langkawi diletakkan di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan, sambil menyifatkannya sebagai satu tindakan tidak menghormati tanah jajahan takluk di bawah naungan Tuanku Sultan Kedah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, menegaskan bahawa cadangan tersebut bukan sahaja tidak sensitif, malah menyinggung perasaan rakyat negeri itu.

“Cadangan Ahli Parlimen Seputeh itu tidak menghormati Tuanku Sultan Kedah selaku Raja yang menaungi segala tanah jajahan takluknya dan juga rakyat Kedah secara keseluruhannya. Beliau sewajarnya lebih peka dan sensitif dalam setiap apa yang dibicarakan, walau di mana sekalipun,” kata Mahdzir dalam satu kenyataan hari ini.


Menurut beliau, mana-mana pihak tidak wajar menyentuh perkara melibatkan institusi Diraja, termasuk tanah jajahan di bawah kuasa Sultan, khususnya isu-isu yang menyentuh kedaulatan negeri.

“Hal berkaitan tanah jajahan takluk Tuanku Sultan bukanlah seperti urusan mengambil buah kelapa gugur di tepi jalan yang tiada pemilik. Ini soal kedaulatan, dan tidak ada kompromi,” tegasnya.

UMNO Kedah turut menggesa Teresa Kok membuat permohonan maaf secara terbuka kerana didakwa mengguris hati rakyat negeri itu melalui kenyataan tersebut.

Mengulas cadangan pembangunan Langkawi, Mahdzir berkata pulau itu sudah pun mempunyai agensi Persekutuan iaitu Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), yang boleh diperkasakan untuk merancakkan semula potensi pelancongan.

“Isu pembangunan Langkawi boleh diselesaikan melalui cara lain, bukan dengan meletakkannya di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan. Tidak perlu diambil alih sepenuhnya,” tambah beliau.

Semalam, Teresa Kok mengkritik kerajaan negeri Kedah yang didakwa gagal membangunkan Langkawi, malah mengaitkan isu itu dengan hasrat kerajaan negeri mahu menuntut Pulau Pinang. Beliau mencadangkan supaya Langkawi dijadikan Wilayah Persekutuan atau Zon Antarabangsa bagi membolehkan pembangunan pelancongan lebih tersusun.

#Langkawi
#UMNOKedah
#MahdzirKhalid
#TeresaKok
#SultanKedah
#IsuSemasa
#AATVMedia
#PolitikMalaysia
#KedaulatanNegeri
#BeritaTerkini

Leave a Reply