KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Kepong menyatakan bantahan keras terhadap cadangan meminda Federal Capital Act 1960 yang dilihat berpotensi mengubah struktur pentadbiran Kuala Lumpur melalui pengenalan sistem kaunselor bandar.

Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman, menegaskan bahawa langkah tersebut menimbulkan kebimbangan besar berkaitan keseimbangan kuasa, keadilan representasi dan masa depan komuniti minoriti bandar, khususnya komuniti Melayu yang semakin mengecil dari segi demografi di ibu negara.

Menurutnya, walaupun reformasi institusi sentiasa dialu-alukan, ia tidak boleh dijadikan jalan pintas untuk mengalihkan kuasa politik secara tidak seimbang kepada satu kelompok sahaja.

“Kuala Lumpur adalah bandar raya pelbagai kaum dengan sejarah kuasa yang sensitif. Apa-apa perubahan yang menjejaskan suara komuniti minoriti, termasuk Melayu bandar, perlu diteliti dengan penuh berhati-hati,” jelasnya.


Beliau turut menyentuh realiti politik semasa, apabila majoriti Ahli Parlimen Kuala Lumpur datang daripada satu parti dominan di kawasan bandar, iaitu DAP. Katanya, pengenalan sistem kaunselor berpotensi mewujudkan konsentrasi kuasa yang lebih besar dan menimbulkan persoalan tentang semak imbang serta ketelusan.

Tpr Abdul Razak menjelaskan bahawa struktur sedia ada sudah mempunyai mekanisme kawalan melalui kerajaan Persekutuan, Lembaga Penasihat DBKL serta Majlis Perwakilan Penduduk di setiap parlimen. Menurutnya, cadangan memperkenalkan lapisan baharu seperti kaunselor bandar hanya akan membebankan, selain berisiko berat sebelah berdasarkan pola politik KL.

“Ini bukan isu politik parti semata-mata. Ini tentang melindungi suara komuniti yang semakin terpinggir dan mengelakkan dominasi politik dalam pentadbiran bandar,” tegas beliau.


UMNO Bahagian Kepong menolak sepenuhnya cadangan pindaan tersebut dan menuntut agar sebarang reformasi dilakukan secara menyeluruh, melibatkan semua pihak berkepentingan serta disertakan jaminan terhadap perlindungan komuniti minoriti bandar.

Beliau turut menasihatkan kerajaan PH agar tidak terlalu rakus memperkenalkan dasar yang dilihat tidak seimbang seperti cadangan URA dan Pilihan Raya PBT sebelum ini.

“Kuala Lumpur milik semua rakyat Malaysia. Pentadbirannya tidak boleh dibiarkan condong kepada politik sempit,” katanya.

#FederalCapitalAct #UMNOKepong #KualaLumpur #PentadbiranBandar #IsuMinoriti #KeseimbanganKuasa #TolakPindaan #SuaraRakyatKL #PolitikBandar #AATVNews

Leave a Reply