Foto Bangsawan Pictures

KUALA LUMPUR – Konsert GenKRU The Finale: One More Time yang berlangsung di Stadium Hoki Bukit Jalil pada malam Sabtu lalu sekali lagi mengesahkan kedudukan KRU sebagai kumpulan pop paling berpengaruh dalam sejarah muzik Malaysia.

Lebih 12,000 peminat membanjiri stadium bagi menyaksikan persembahan berskala besar itu, menjadikannya antara acara muzik tempatan paling berjaya tahun ini.

Konsert anjuran ICON Entertainment itu adalah penganjuran kelima KRU di Malaysia pada tahun yang sama selepas empat siri yang mencipta fenomena di Axiata Arena Bukit Jalil.

Dengan tambahan satu persembahan di Singapura, kumpulan ini kini merekodkan enam konsert dalam tempoh enam bulan, sesuatu yang jarang berlaku di industri hiburan tanah air.

Menurut wakil penganjur, Iman Tang, permintaan luar biasa peminat adalah faktor utama yang mendorong penganjuran konsert tambahan ini.

Beliau menyifatkan perubahan corak penganjuran konsert di Malaysia sebagai satu perkembangan positif yang selari dengan trend global.

“Di luar negara, banyak konsert kini berlangsung beberapa hari berturut-turut. Fenomena itu kini menular ke Malaysia.

“Bila permintaan tinggi, penganjur berani menambah tarikh tambahan dan KRU adalah buktinya,” katanya.

Konsert bertemakan era 90-an itu membuka tirai dengan persembahan penuh tenaga oleh trio Norman, Yusry dan Edry.

Stadium bergema dengan sorakan apabila rangkaian lagu ikonik seperti “Fobia”, “Awas”, “Voodoo”, “Sayang”, “Fanatik” dan “Terhangat Di Pasaran” dipersembahkan satu demi satu.

Aura nostalgia jelas dirasakan dari setiap sudut stadium apabila ribuan peminat menyanyi bersama tanpa henti.

Malam itu turut menyaksikan beberapa kemunculan istimewa yang memanaskan suasana.

Kumpulan nasyid tersohor Rabbani mengejutkan penonton dengan persembahan lagu “Intifada” ciptaan Edry sendiri yang mendapat tepukan paling gemuruh pada malam itu.

Bekas artis naungan KRU, Datin Juliana Banos, juga mencuri perhatian apabila tampil berduet bersama Edry menerusi lagu malar segar “Sehidup Semati”.

Meskipun lama menyepi dari dunia nyanyian, vokalnya yang matang membuktikan beliau masih berbisa di pentas.

Segmen lain turut diserikan dengan kemunculan Elite, Adam AF, Dina Nadzir, Nine (Phyne Ballerz), Leona serta bos Radio ERA, Oney, yang tampil secara mengejut sebagai DJ ketika segmen rap khas oleh Norman.

Persembahan spontan itu menambah elemen kejutan yang menghiburkan penonton.

Pada penghujung konsert, Norman sempat berkongsi keadaan ayahnya, Abdul Halim Kamal, yang kini menerima rawatan di hospital.

Beliau berkata komitmen kepada peminat tetap menjadi keutamaan meskipun berdepan situasi peribadi mencabar.

Dengan sambutan luar biasa serta rekod penganjuran yang sukar ditandingi, GenKRU The Finale One More Time melakar satu lagi detik bersejarah buat KRU.

Ia bukan sekadar konsert, tetapi satu bukti bahawa legasi KRU terus kukuh dan masih mendapat tempat dalam hati peminat dari pelbagai generasi.

By Cynthia

Leave a Reply