KUALA LUMPUR, 20 November 2025— Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, tampil memberi pandangan tegas mengenai peluang pembebasan Datuk Seri Najib Razak melalui Titah Adendum, selain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kedudukan UMNO dalam kerajaan perpaduan ketika ini.
Beliau menjawab soalan seorang wartawan mengenai harapan pembebasan Najib, dengan menegaskan bahawa keputusan terletak kepada mahkamah, namun tidak menafikan wujud potensi perkembangan politik menjelang pilihan raya akan datang.
“Najib bagi saya adalah manusia yang paling diuji. Dia jadi kambing hitam. Dalam banyak situasi, nasib tidak menyebelahinya,” katanya.
Dr. Azam turut melontarkan kritikan pedas terhadap beberapa tindakan pimpinan kerajaan, khususnya berkaitan hubungan politik UMNO dengan PH dan DAP. Menurutnya, UMNO sering berada dalam posisi “serba salah” walaupun memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan.
Beliau mendakwa UMNO perlu lebih berani mempertahankan maruah parti, termasuk tidak lagi membiarkan diri “dipermainkan” oleh rakan politik.
“Kita jangan jual maruah Barisan Nasional. Jangan ulang sejarah sampai ditipu lagi,” tegas beliau.
Dalam kenyataan itu, Dr. Azam turut menyampaikan rasa kecewa terhadap pendekatan pemimpin tertentu dalam parti, termasuk isu komunikasi dan prinsip tawar-menawar politik yang didakwanya lemah.
Beliau juga mengulangi keyakinan bahawa peluang pembebasan Najib tetap ada, namun berpendapat ia mungkin hanya berlaku apabila Pilihan Raya Negeri atau Pilihan Raya Umum semakin hampir.
“Najib akan dapat peluang. Tapi bila? Tunggu dekat-dekat PRU. Kita doakan sama-sama,” katanya.
Dr. Azam menutup kenyataannya dengan menyeru UMNO supaya lebih bijak mengatur strategi bagi mengelakkan kesilapan sama berulang.
#AATVNews #IsuNajib #TitahAdendum #UMNO #PolitikMalaysia #DrAzamRauzan #KerajaanPerpaduan #BeritaTerkini #PRU15 #AnalisisPolitik