KUALA LUMPUR, 28 November 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mendedahkan aduan serius melibatkan skim pelaburan Guaranteed Rental Return (GRR) yang didakwa mempunyai ciri-ciri Skim Kepentingan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Skim Kepentingan 2016, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar mengenai risiko penipuan terhadap para pelabur.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, pihaknya menerima aduan daripada 24 pemilik unit hotel yang terlibat dalam skim pelaburan GRR dikendalikan sebuah syarikat tempatan. Nilai keseluruhan pembelian unit-unit tersebut dianggarkan mencecah RM23.1 juta.

Pulangan Dijanjikan 8% – 12%, Tapi Tidak Dibayar

Menerusi aduan yang dikemukakan, para pemilik unit mendakwa mereka diperdaya dengan pelbagai tawaran menarik, termasuk:

Pulangan sewa terjamin selama beberapa tahun,

Jaminan pembelian semula unit mengikut harga pasaran,

Kadar pulangan tinggi 8% – 12% setahun,

Pengurusan penuh oleh syarikat tanpa penglibatan pemilik,

Jaminan lokasi strategik dan permintaan tinggi.

Namun, pulangan sewa yang dijanjikan gagal dibayar selepas projek beroperasi. Lebih memburukkan keadaan, syarikat terbabit dilaporkan memaksa pemilik menandatangani skim baharu, iaitu Pool Rental Return (PRR), yang membahagikan keuntungan secara pro rata — jauh berbeza daripada perjanjian asal.

Disyaki Memenuhi Ciri Skim Kepentingan Tidak Sah

Berdasarkan penelitian panel peguam MHO, skim GRR yang dipromosikan syarikat terbabit menunjukkan ciri-ciri skim kepentingan yang sepatutnya dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Skim Kepentingan 2016 — namun syarikat berkenaan didakwa beroperasi tanpa sebarang pengawalseliaan.

MHO turut menyuarakan kebimbangan bahawa operasi seperti ini berisiko menjadi “perangkap” kepada pelabur, terutama apabila banyak syarikat yang menawarkan skim GRR sebelum ini dilaporkan sebagai “shell company” yang kemudiannya melarikan diri atau melakukan voluntary winding up apabila pelabur menuntut hak mereka.

Mangsa Tuntut Keadilan – MHO Desak SSM Bertindak

Para mangsa kini menuntut tindakan tegas diambil, manakala MHO mendesak pihak berkuasa — khususnya SSM — untuk segera:

Menyiasat syarikat terlibat,

Menghalang penawaran skim pelaburan GRR secara tidak sah,

Melindungi kepentingan pengguna,

Mencegah lebih ramai pelabur daripada terjerat skim pelaburan berisiko tinggi.

“Jika pencegahan tidak dilakukan segera, lebih ramai rakyat akan menjadi mangsa janji-janji manis yang tidak bertanggungjawab,” tegas MHO.

#AATVNews #SkimGRR #PelaburTertipu #MHO #KeadilanUntukMangsa #SSMHatiHati #SkimPelaburan #JanjiManisPerangkap #HartanahMalaysia #BeritaSemasa

Leave a Reply