KUALA LUMPUR, 7 Disember 2025 – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Adnan Seman, menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebagai satu kehilangan besar kepada UMNO, khususnya di Sabah, serta kepada landskap politik negara.

Menurut beliau, Bung Moktar bukan sekadar tokoh politik, tetapi pemimpin yang setia, tegas dan komited kepada perjuangan parti, serta dihormati oleh masyarakat kerana jasa dan khidmat baktinya sepanjang menjadi wakil rakyat.

Datuk Adnan berkata, ramai yang terkejut dengan berita pemergian tersebut kerana Allahyarham merupakan figura yang lama mempertahankan kerusi Dun Lamag dan sering dilihat sebagai suara penting dalam membangunkan kawasan luar bandar di Sabah.

Beliau turut menyentuh mengenai sentimen kuat “Sabah for Sabahan” dalam PRN Sabah yang lalu, yang menyaksikan penolakan pengundi terhadap parti-parti dari Semenanjung. Namun, Barisan Nasional (BN) masih berjaya mengekalkan enam kerusi, yang menurut beliau, merupakan bukti bahawa parti dan kepimpinan seperti Bung Moktar masih diterima rakyat Sabah.

“Pengundi menilai jasa. Walaupun pernah dikritik dan dihina ketika masih hidup, selepas pemergian beliau, ramai tampil menceritakan sifat sebenar Allahyarham yang pemurah, menjaga agama, penyayang kepada keluarga dan berbudi bahasa kepada rakan-rakan,” katanya.

Datuk Adnan menegaskan bahawa kisah pemergian Bung Moktar harus dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar politik tidak dijadikan medan fitnah dan perpecahan, sebaliknya ruang untuk berbeza pandangan secara matang dan beradab.

Beliau turut percaya bahawa legasi Allahyarham akan diteruskan oleh pengganti yang sesuai, baik di Dun Lamag mahupun Parlimen Kinabatangan, sama ada melalui pemimpin tempatan atau calon yang dipilih oleh parti.

“Saya yakin akan ada mereka yang meneruskan kerja-kerja kebajikan dan khidmat masyarakat sehinggalah pilihan raya kecil nanti. Mudah-mudahan parti memilih calon terbaik untuk meneruskan perjuangan dan legasi Allahyarham,” tambahnya.

Akhir sekali, beliau mendoakan agar roh Bung Moktar ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya tabah menghadapi ujian itu.

#BungMoktar #UMNOSabah #Lamag #Kinabatangan #Innalillahi #PolitikMalaysia #AATVNews #HormatPemimpin #SabahForSabahan #LegasiBungMoktar

Leave a Reply