BRICKFIELDS, 7 Disember 2025 – Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk Dr. Kalaivanar, hari ini tampil mengiringi seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual serta penderaan fizikal oleh seorang individu yang digelar sebagai paderi wanita berusia 63 tahun di Rawang.

Menurut Dr. Kalaivanar, mangsa pernah membuat laporan polis pada September 2020, lengkap dengan bukti kecederaan termasuk luka akibat dipukul dengan objek seperti kayu, botol dan tali pinggang sehingga mangsa dikatakan tidak sedarkan diri. Namun, laporan tersebut diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action).

SBKN mempersoalkan mengapa tindakan lanjut tidak diambil walaupun mangsa dikatakan menyediakan bukti fizikal yang jelas pada ketika itu.

Keadaan berubah apabila pada 14 November 2025, mangsa sekali lagi membuat laporan polis baharu selepas suspek didakwa kembali menghubunginya dan mendesak untuk melakukan hubungan intim. Kali ini, siasatan dimaklumkan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa kedudukan agama tidak boleh dijadikan perlindungan untuk mana-mana individu melakukan salah laku.

“Kami menuntut penjelasan mengapa laporan 2020 tidak disiasat secara menyeluruh. Mangsa telah menanggung trauma bertahun-tahun. SBKN akan memastikan keadilan ditegakkan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa SBKN akan membuat serahan laporan rasmi kepada Ketua Polis Negara pada Selasa depan sebagai desakan agar kes tersebut disiasat secara telus dan tuntas.

SBKN komited untuk mengiringi mangsa sehingga proses keadilan selesai sepenuhnya.

#AATVNews #KeadilanUntukMangsa #SBKN #JenayahSeksual #HentikanKeganasan #SuaraRakyat #TraumaMangsa #SiasatanTelus #BelaMangsa #KrisisKemanusiaan

Leave a Reply