Kuala Lumpur, 28 Disember – Penglibatan masyarakat di Wilayah Persekutuan terutamanya golongan asnaf dan B40 adalah amat penting daripada pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosio budaya dan sebagainya bagi memastikan mereka mampu berdaya saing pasca pendemik Covid-19.

Pelbagai program telah disusun rapi oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk memastikan segala usaha dan bantuan yang disasarkan kepada golongan asnaf dan B40 mampu mengeluarkan golongan ini daripada kategori kemiskinan tegar bagi membolehkan mereka lebih berdaya saing di masa akan datang.

Sehubungan dengan itu, sukacita dimaklumkan bahawa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Karnival MAIWP pada 28hb Januari 2023 dan 29hb Januari 2023 bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

Antara pengisian program ini ialah:
i) Pembukaan 100 booth @ reruai usahawan asnaf, influencer, selebriti, anak-anak syarikat MAIWP dan agensi – Karnival Usahawan & Pendidikan;

ii) MAIWP RUN yang dijangka akan disertai oleh seramai 10,000 orang peserta yang diuruskan oleh Pusat Pungutan Zakat (PPZ), MAIWP;

iii) Majlis Walimatul Urus Perdana yang melibatkan 100 pasangan pengantin di kalangan asnaf;

iv) Penyampaian anugerah kepada Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf MAIWP

Karnival MAIWP 2023 juga akan diserikan dengan persembahan hiburan oleh para artis nasyid popular antaranya Raihan, Rabbani, In Team, Aydan dan Nada Murni 2 dimana para artis ini dibawakan khas dengan inisiatif dan tajaan Pengurus Acara Karnival MAIWP 2023 iaitu Naurah Care Malaysia.

Pembentukan institusi keluarga Islam bertitik tolak daripada perkahwinan dan dalam Islam sendiri, perkahwinan itu adalah sangat-sangat dianjurkan. Namun begitu, perkahwinan dalam Islam dilandasi dengan panduan serta hukum yang jelas agar perkahwinan itu menjadi suatu ikatan yang memberi kebahagiaan, bukannya kemudaratan.

Pun begitu, mereka yang bakal bergelar raja sehari pasti mengimpikan majlis perkahwinan yang gilang gemilang meraikan hari bersejarah dalam seumur hidup.

Namun bukan semua pasangan pengantin berkemampuan untuk mengadakan majlis sebagaimana yang diidamkan.

Oleh itu kepada mereka yang kurang upaya untuk mengadakan majlis keraian secara besar-besaran mengundang semua kaum keluarga, sanak saudara dan handal taulan bagi berkongsi kebahagiaan itu, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) & Naurah Care Malaysia (Naurah Care) mengambil inisiatif menganjurkan Karnival MAIWP 2023 yang antaranya akan diadakan Majlis Walimatul Urus Perdana.

Majlis itu bakal diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 28 dan 29 Januari 2023.

Pengerusi Naurah Care, Sheikh Ahmad Fakhruddin Sh Abd Rahim berkata, Majlis Walimatul Urus Perdana itu akan meraikan seramai 100 pasangan pengantin asnaf dan juga mualaf.

Beliau berkata, pelaksanaan Walimatul Urus Perdana secara beramai-ramai itu akan tertumpu pada pasangan yang telah diijabkabul dan juga bakal diijabkabulkan pada hari majlis itu nanti.

“Seramai 97 pasangan sudah pun melangsungkan pernikahan dan tiga lagi

pasangan akan dinikahkan pada majlis itu,” katanya.

Menurut Sheikh Ahmad Fakhruddin, syarat pasangan yang terpilih untuk diraikan pada program Walimatul Urus Perdana ini, mereka mestilah pasangan pengantin kategori asnaf atau pun mualaf.

“Syarat lain, salah seorang pasangan pengantin mestlah pemastautin tetap di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan mereka menikah pada tahun 2022.

“Senarai para pengantin yang layak untuk menyertai program ini diberikan oleh pihak MAIWP.

“Perbelanjaan Walimatul Urus Perdana ini ditanggung oleh MAIWP berdasarkan peruntukan yang telah diluluskan.

“Pada hari itu nanti, setiap pasangan dibenarkan membawa 20 ahli keluarga iaitu 10 ahli keluarga di pihak pengantin lelaki dan 10 lagi oleh pihak pengantin perempuan,” katanya.

Sheikh Ahmad Fakhruddin berkata, program itu memilih Nostalgia Adat Istiadat Sejarah Kegemilangan Melayu Islam bertujuan mengembalikan nostalgia zaman kegemilangan dan lambang kemelayuan Islam.

Konsep yang dirancangkan untuk menonjolkan, mempromosikan kesenian dan kebudayaan Melayu kepada segenap lapisan masyarakat yang berbilang agama, kaum dan budaya sekali gus menjelaskan agama Islam tidak melarang masyarakat untuk berbudaya selagi ia selari dengan syariat Islam yang syumul.

Objektif lainnya, untuk menunjukkan nilai Islam itu sendiri yang amat menggalakkan penganutnya membina Baitul Muslim yang menitikberatkan pernikahan yang halal dan diredhai ALLAH s.w.t ke arah pembinaan ummah sejahtera.

“Majlis ini juga adalah untuk memperkenalkan budaya serta adat istiadat orang Melayu dalam menguruskan majlis perkahwinan kepada pasangan pengantin serta memperkenalkan seni kebudayaan kepada pelancong di dalam dan luar negara.

“Selain itu, pelaksanaan majlis ini juga adalah untuk menyemarakkan lagi semangat persaudaraan sesama Islam di samping menjadi teladan buat segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Memeriahkan suasana dan agar majlis itu menjadi kenangan manis kepada pasangan raja sehari yang diraikan, pelbagai persembahan kebudayaan seperti kompang, silat dan tarian tradisional akan dipersembahkan.

“Memilih tema perkahwinan tradisional Melayu dengan menampilkan beberapa persembahan dan aktiviti yang mengimbau nostalgia adat lama yang semakin dilupakan.

“Paling menarik, pasangan pengantin akan diarak dengan menaiki kereta kuda menuju ke Dataran Merdeka yang melambangkan kepimpinan, kemewahan, keunggulan dan kekayaan agar pihak pengantin boleh menjadikan ia semangat untuk terus maju di masa hadapan serta mampu keluar daripada kategori asnaf,” katanya.

Melangkah ke alam baru berkongsi hidup berdua, pasti ada suka dan duka yang perlu dilalui. Maka penganjur juga akan menampilkan dua orang penceramah untuk memberikan motivasi berkaitan hak-hak suami atau isteri di dalam melayari bahtera rumahtangga dan Pengurusan Kewangan Bijak.

Leave a Reply