KUALA LUMPUR, 22 April 2022 – Maktab Rendah Sains MARA yang telah berjaya mendidik fan melahirkan 194 ribu pelajar termasuk tokoh-tokoh yang hebat sejak penubuhannya tahun 1972 menyambut Ulang Tahun Jubli Emas yang bertemakan Mendokong Aspirasi Mencorak Kecemerlangan Generasi.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Sri Mahdzir Khalid, MRSM juga telah terbukti melahirkan ramai golongan Bumiputera yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya.

Antara tokoh-tokoh professional yang lahir dari MRSM ialah Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar, Dekan Fakulti Perubatan KPJ Healthcare University College (KPJUC), Prof Emeritus Datuk Dr. Lokman Saim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UZMA Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed.

“Kita merasa amat berbangga dengan pencapaian MRSM melahirkan ratusan ribu pelajar yang cemerlang yang kini menjadi nadi kepada pelbagai sektor dan lapangan kerjaya di negara ini.

Sistem pendidikan MRSM yang cemerlang ini perlu dipertahankan dan diberi nafas baharu bagi mengekalkan kelestariannya agar sentiasa kekal relevan untuk satu tempoh masa yang lebih panjang lagi.”

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas MRSM dan Majlis Berbuka Puasa MARA di ibu negara disini hari ini.

Tambah Datuk Sri Mahdzir, bekas pelajar MRSM atau lebih dikenali Anak Sains MARA atau ANSARA, telah berjaya mengungguli sektor kritikal negara terutamanya yang melibatkan bidang sains dan teknologi.

“MRSM telah melahirkan ramai tokoh profesional dan usahawan teknokrat di negara ini sejak 50 tahun lalu.

Secara tidak langsung mereka telah menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih inklusif dan mampan disamping membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi rakyat Malaysia.”

Ia disambut sebagai meraikan kegemilangan sistem pendidikan MRSM yang telah dicorakkan dengan jayanya oleh generasi terdahulu.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua warga MRSM dan MARA khususnya kerana telah berjaya menjadikan institusi ini sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan Pendidikan Inovatif bertaraf dunia.

“Penambahbaikan sistem pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kaedah-kaedah pembelajaran lain akan turut dilaksanakan bersesuaian dengan peredaran masa bagi menjadikan sistem pembelajaran di MRSM satu model contoh yang diterima di peringkat global kelak”.

Untuk rekod, MARA kini mempunyai 55 buah MRSM di seluruh negara dan yang terbaru, MRSM Ranau dan Bintulu dijangka siap akhir tahun ini serta lima buah lagi akan dibina iaitu MRSM Sik, Ketereh, Tanah Merah, Lawas dan Dungun.

Pada tahun ini, MARA menerima hampir 75 ribu permohonan kemasukan ke tingkatan 1 dan tingkatan 4 MRSM yang hanya mampu menawarkan 9,900 tempat sahaja kepada pelajar yang memenuhi syarat dan kriteria untuk melayakan pelajar dipilih.

“Untuk tahun-tahun mendatang, kita sedang mengkaji keperluan untuk membuka lebih banyak lagi MRSM bagi memenuhi permintaan yang tinggi saban tahun terutamanya pelajar daripada luar bandar,” kata Mahdzir.

Terdahulu, Datuk Sri Mahdzir Khalid turut melancarkan platform atas talian baharu dikenali “MRSM Channel” iaitu medium pembelajaran atas talian bagi pelajar mengikuti video pengajaran daripada guru-guru pakar setiap subjek dalam sukatan mata pelajaran.

Leave a Reply