KUALA LUMPUR : Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) menyelar satu artikel berbaur hasutan yang dikeluarkan sebuah Portal tempatan bertajuk ‘Ramai Mangsa Kartel Mamak’ yang telah menimbulkan rasa kurang senang Komuniti mamak di negara ini.
Menurut Presiden PRESMA, Datuk Jawahir Ali Taib Khan, artikel berkenaan adalah berat sebelah yang tidak sensitif setelah diterbitkan pada 24 Mei lalu seolah menunjukan bahawa seluruh mamak terbabit dengan kegiatan Kartel itu.
Jelasnya lagi, wartawan berkenaan sepatutnya menghubungi pihak PRESMA terlebih dahulu untuk mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini sebelum menyiarkan artikel itu.
“Jika wartawan berkenaan memaklumkan perkara itu kepada kami (PRESMA) terlebih dahulu, mungkin ianya tidaklah memberi implikasi sebesar ini,” katanya ketika Sidang Media di Ibu Pejabat PRESMA di Kuala Lumpur.
“PRESMA amat terkilan dengan artikel tidak bertanggungjawab itu yang mengundang persepsi negatif pada masyarakat mamak dan menyebabkan maruah masyarakat mamak tercalar.
PRESMA menuntut portal dan wartawan berkenaan membuat permohonan maaf di portal yang sama serta menarik balik artikel berbaur hasutan itu setelah menyerahkan ‘Letter of Demand’ pada 27 Mei lalu. Jika tiada sebarang tindakan dalam masa 7 hari bekerja ini, PRESMA akan terus dengan tindakan Saman. Ini bukan soal duit, ini soal membabitkan maruah, katanya lagi.
Turut hadir, Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nazim Johan (Toqqi).
PRESMA turut mengingatkan dan menasihati rakan-rakan media agar menulis dan mengamalkan etika kewartawanan supaya tidak berlakunya maklumat palsu yang bakal mengundang dengan implikasi perundangan.