KUALA LUMPUR – Koperasi Rakan Teknologi (KOPERAT) berhasrat menjadi peneraju perkhidmatan teknologi dalam pelbagai sektor bagi memenuhi keperluan transformasi ekonomi yang kini bergerak seiring perkembangan platform digitalisasi dalam kepelbagaian segmen operasi.
Presiden KOPERAT, Mohamad Rizwan Ramalan berkata koperasi baru yang diterajuinya itu memiliki kepakaran bagi memenuhi kehendak pasaran khidmat rundingan bidang teknologi yang kini semakin mendapat permintaan tinggi di pelbagai sektor dan industri.
“Teknologi amat diperlukan dalam sesebuah organisasi bagi meningkatkan kecekapan, mewujudkan perlindungan dalam aspek keselamatan serta melonjak produktiviti ke tahap optimum dalam seluruh operasinya.”
Menurut Rizwan lagi, ekonomi dunia kini telah berkembang begitu pantas daripada tradisional kepada tranformasi digital ke tahap yang begitu pantas dan Malaysia perlu seiring perkembangan ini agar tidak tercicir dalam persaingan pasaran domestik dan global.
“Kini kita tidak lagi bergantung kepada operasi berintensif buruh dalam bidang pertanian dan perladangan sebagai contoh; kerana banyak industri telah bertukar menggunakan mesin robotik dan automasi bagi menggantikan masalah tenaga kerja”
“Transaksi urusniaga dalam sektor peruncitan pula kini lebih cenderung menggunakan model pembayaran di aplikasi telefon pintar dalam urusan jual beli bagi menggantikan kaedah tradisional menggunakan wang kertas.
Rizwan ditemui di majlis mesyuarat penaja Koperasi Rakan Teknologi Malaysia Berhad di ibukota semalam.
Majlis turut dihadiri Timbalan Presiden ANGKASA, Datuk Dr. Rahman Shaikh yang menekankan kewujudan KOPERAT tepat pada masanya seiring Pelan Digitalisasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)
ANGKASA dianggotai hampir 11,000 pertubuhan koperasi aktif dan bekerjasama erat dengan agensi kerajaan sekaligus berfungsi sebagai pemudahcara dengan mana-mana koperasi untuk memasuki sektor pasaran yang berpotensi.
ANGKASA juga kini aktif dalam sembilan sektor utama antaranya peruncitan, perladangan, pertanian, perkhidmatan serta pelancongan.