CHERAS – Dalam usaha menyahut aspirasi membangun “Malaysia Madani” dengan masyarakat yang maju, terampil dan terangkum, Masjid AlMukhlisin Alam Damai Cheras hari ini melancarkan kiosk Pembayaran Layan Diri dalam usahanya mengimarahkan premis masjid agar lebih terbuka kepada seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira batas agama dan ras.
Pengerusinya, Dato’ Ahmad Nazri Ibrahim berkata kiosk pembayaran layan diri itu bertujuan memberi kemudahan kepada pengguna bagi membuat pembayaran bil-bil berkaitan serta membuat pembayaran e-Zakat serta infaq dan sedekah secara dalam talian bukan sahaja kepada ahli kariah masjid, malah kepada penduduk yang bukan Islam dalam usaha mengeratkan hubungan setempat.
Menurut Ahmad Nazri, di bawah kepimpinannya pihak masjid sentiasa terbuka kepada usaha transformasi institusi dan berusaha mempopularkan premis masjid tidak hanya sebagai rumah ibadah, tetapi juga menjadi tumpuan ahli kariah bersama penduduk lain bersosialisasi bagi mewujudkan keharmonian bersama.
Nazri turut menyeru mereka yang tinggal di kejiranan Alam Damai termasuk seluruh penduduk perumahan di sekitar masjid itu memanfaatkan kemudahan kiosk yang disediakan.
Majlis pelancaran kiosk layan diri ini dirasmikan Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Agama Islam Wilayah, Mohd Fadzil Abu Kasim di sini, hari ini.