KUALA LUMPUR – Pinangan ditolak sebanyak tiga kali tidak menghalang Ariani untuk berusaha menjadikan wajah pelakon dan selebriti berkaliber, Datin Lisa Surihani menghiasi jenama tudung terkemuka negara itu,

Dek penangan aura luar biasa, mempunyai ‘chemistry’ unik bersama ‘teamwork’, selain pembawakan jiwa menepati kehendak Ariani, Datin Farah Haryani Muhammad Philip memilih Lisa menjadi Duta Ariani selain sedia ada, Bella Dally dan Uyaina Arshad

Percaya dengan setiap aturan hidup telah ditetapkan oleh Allah SWT, Farah Haryani tidak terlalu cerewet dalam soal pemilihan duta, tetapi tetap mengambil kira aspek yang diperlukan Ariani.

“Soal pemilihan duta, perkara ini istimewa, rasa macam Allah dah tetap siapa bersama Ariani.

“Saya ada rasa ‘chemistry’ lebih (dengan duta baharu), sama yang Ariani nak sampaikan. Kita tidak terlalu ‘particular’ (pemilihan) tetapi ambil kita pelbagai aspek.

“Jadi, mereka ‘fit to our soul, aura mereka masing-masing berbeza,” katanya pada majlis pelancaran pertunjukan koleksi Ariani Layar Lara 2023, di Grand Ballroom, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini.

Acara turut diserikan dengan pembukaan persembahan petikan gitar profesional, Man Kidal bersama penyanyi Amir Masdi melantunkan lagu Sejati, sebagai simbolik kepada peminat setia Ariani yang terus menyokong jenama itu, selain paduan vokal pasangan selebriti, Erni Zakri dan Syamel.

Hadir sama, isteri kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datin Seri Fatimah Taha, barisan artis dan pempengaruh.

Sebanyak lebih 101 rekaan hijab terbaharu diperkenalkan dengan kombinasi warna,, material dan cetakan motif alam, floral dan abstrak yang lebih unik, moden dan elegan selain batu permata pada setiap helaian hijab.

Membuka majlis pertunjukan fesyen pada petang itu, lebih 30 koleksi hijab yang merangkumi tudung polos dan tudung printed yang terdiri daripada voile tenunan (embroidery), tenunan asas, jacquard twill, koleksi popsicle, selendang bersulam.

Turut dipamerkan, koleksi hijab premium, Ariani Luxe adalah rangkaian koleksi hijab premium yang direka oleh pereka berkemahiran dan berpengalaman dengan sentuhan artisan yang mahir dalam mereka bentuk pola dengan perincian renda dan Swarovski eksklusif.

Ariani juga kali ini menampilkan kelainan apabila pertama kalinya melancarkan subbrand baharu khas kepada kaum adam, iaitu Aryan.

Pada majlis sama, Farah Haryani turut mengumumkan Ariani mencipta sejarah baharu dengan pembukaan House of Ariani (HOA) pada 10 Mac 2023.

Bangunan berkeluasan 37,100 meter persegi menjadikan HOA sebagai gedung tudung & butik pakaian muslimah wanita terbesar di Malaysia merangkumi empat aras yang menempatkan koleksi Ariani di bawah satu bumbung.

Sementara itu, Lisa berkata, siapa tidak teruja apabila jenama berprestij melamarnya sebagai duta, cuma ketika itu dia hanya menyerahkan ketetapan kepada Tuhan sekiranya ada rezeki berpihak kepadanya.

“Syukur, biarpun mengambil masa (menerima lamaran), tapi ia sudah tertulis dalam keadaan yang baik. Selepas beberapa bulan bersama Ariani, saya sendiri berasa ‘positive vibes’ itu,” katanya.

Bagi duta setia selama hampir sembilan tahun bersama Ariani, Bella pula merasakan jenama Ariani itu sendiri sudah sebati dalam dirinya.

“Ia satu perjalanan yang sangat panjang. Banyak yang saya lalui selepas Ariani membuka peluang kepada saya, dan saya tidak mampu nak menggambarkan sekiranya satu hari nanti saya terpaksa lepaskan (duta), saya pasti menangis,” katanya.

Uyaina pula, akhirnya membuka rahsia selepas dua tahun sejak 2021 dilantik sebagai duta, apabila dia sendiri pernah memasang impian untuk menjadi sebahagian keluarga Ariani.

“Ia berlaku pada 2018, ketika itu jadi penonton ‘fashion show’ Ariani. Dalam diri berkata, seronoknya kalau jadi sebahagian keluarga Ariani.

“Akhirnya, Allah makbulkan doa, dan sejujurnya Umi Yana pun pakai Ariani. Apabila membesar dengan jenama sudah dikenali, kemudian diterima sebahagian , ia bagaikan bulan jatuh ke riba,” katanya sambil menahan sebak.

Leave a Reply