KUALA LUMPUR, 16 Mac 2023 – YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara (MTVET) hari ini menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama Transformasi Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Antara Syarikat Berkaitan Kerajaan Dan Syarikat Swasta Bersama Kerajaan di Institut Latihan Perindustrian Kuala Lumpur. (ILPKL)
Pada majlis ini juga, sebanyak 10 Memorandum Kerjasama telah dimeterai antara pihak Kerajaan yang diwakili YB Menteri Sumber Manusia dengan melibatkan beberapa pihak industri seperti Petronas, Gamuda Berhad, Sunway Services, DRB Hicom, Berjaya Corporation, Redbeat Academy Sdn Bhd (Airasia Academy), Daikin Malaysia Sdn Bhd, Bermaz Auto Berhad, Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB).
Menerusi Memorandum Kerjasama ini juga, rakan strategik industri akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan pogram TVET negara melalui pembangunan kurikulum dan bahan latihan, sumbangan dan perkongsian kemudahan serta peralatan, sumbangan khidmat kepakaran, pembangunan kompetensi tenaga pengajar serta pembiayaan program latihan.
Penglibatan dan kerjasama ini akan mencakupi pelbagai bidang utama dalam program TVET seperti minyak dan gas, automotif, elektrik, hospitaliti, pembinaan, aeroangkasa, industri 4.0, kejuruteraan pembangunan perisian, dan sistem binaan berindustri (IBS).
Pemeteraian 10 Memorandum Kerjasama ini adalah langkah permulaan yang diambil oleh Kementerian Sumber Manusia dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan untuk memuktamadkan 50 Memorandum Kerjasama pada tahun 2023 sebagaimana yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2023.
Memorandum Kerjasama yang dimeterai ini akan menjadi platform kerjasama meliputi semua Institusi Latihan Kemahiran Awam di bawah 12 buah Kementerian dengan pihak GLC dan syarikat swasta berdasarkan kesesuaian bidang dan skop yang dipersetujui secara bersama.