Oleh Cynthia Aivy
Koleksi Sakura ialah gambaran rekaan versatil Asia-Afrika. Keunikan dunia fesyen menyatukan seni dan gubahan bunga Ikebana. Kimono yang diketahui umum adalah pakaian tradisi yang juga pakaian kebangsaan Jepun. Ikebana pula seni gubahan bunga Jepun.
‘Afro-Kimono’ yang direka khas menyerlahkan karya seni bunga dan permata, gabungan kedua-dua budaya yang ditonjolkan dalam fabrik nan indah.
Direka dengan ciptaan lebih moden tanpa meninggalkan ciri tradisi, ia adalah rekaan eksklusif Xander Pratt, yang juga CNN Top Ten Avant Garde artist from Africa. Kimono menjadi pilihannya untuk menyatukan kekuatan dua benua.
Xander berkata, manusia menganggap fesyen sekadar untuk digaya dan dilihat. Hakikatnya, ia perlukan jiwa. Ia menzahirkan diri tanpa perlu berkata-kata.
“Mengapa saya memilih kimino? Penampilan saya dengan busana kimono kerana mahu mendekatkan Afrika dan Asia, malah saya percaya kedua-duanya akan lebih kuat apabila bergandingan.
”Budaya Afrika dan Asia adalah sama jika dilihat daripada nilai kekeluargaan dan sikap menghormati yang tinggi,” katanya yang membuat kemunculan di dunia fesyen di Asia Tenggara ketika sambutan bulan wanita baru-baru ini.
Melihat kepada rekaan koleksi Sakura menggunakan fabrik linen dengan perincian sulaman tangan, menurut Xander, ia adalah ciptaan indah jiwa Asia dengan jarum Afrika.
“Kimono begitu indah kerana wujudnya elemen kegemaran saya iaitu unsur angin. Hayunan kimono sangat cantik dan menawan tatkala si pemakainya melangkah.
“Ia juga busana yang sopan. Bukan sekadar ketika digayakan secara fizikalnya, tetapi juga mempamerkan kesantunan dalam diri. Ia cara menyatakan ekspresi diri, meluahkan kebebasan,” katanya.
Digelar Most Promising African Designer in Modest Fashion oleh Moslema in Style Malaysia, rekaannya bersifat uniseks, membolehkan setiap helaian digayakan tanpa batas dan rasa janggal.
“Setiap rekaan ini membawa kisahnya tersendiri, yang mana mereka yang menggayakannya akan merasai energi dan idea saya di sebaliknya.
”Potensi manusia itu terkunci melalui emosi yang dirasai setiap hari, yang kemudiannya terikat dengan imej yang dipamerkan diri kita sendiri, jadi koleksi Sakura adalah rekaan yang memaparkan luahan diri.
“Ini adalah masa yang tepat untuk saya melancarkan koleksi Sakura. Saya amat berharap rasa ingin tahu dan keterbukaan penggemar fesyen di Malaysia dapat menerima koleksi ini. Semoga Sakura juga menemukan titik sempurna buat semua,” katanya lagi.
Pada 2022, Koleksi Sakura telah tiba di Jepun untuk program Noble Queen of the Universe’s Coronation Night di Hotel Tokyo Prince, yang dinaungi Mdme. Aditi Ahuja.
Seterusnya pada 2023, koleksi dibawa masuk ke Filipina dan Malaysia, melalui kerjasama pemain industri tempatan dan butik e-dagang.
Koleksi Kimono Afro ini boleh didapati secara online di xanderprattcollection.com.