PETALING JAYA – Sime Darby Oils (SDO), memperbaharui segmen produk menerusi marjerin di bawah jenama ALIF untuk dipasarkan bersama jenama burger tempatan terkenal, GTR Burger.

Ketua Jualan Pelanggan SDO, Mohammad Rahimi Abdullah berkata, marjerin ini dipasarkan secara meluas menerusi kolaborasi antara Sime Darby dan GTR.

“SDO adalah pengusaha minyak sawit yang mampan di Malaysia, jadi, kami berbesar hati dengan kerjasama ini berikutan bekalan produk terus mapan untuk memenuhi keperluan pelanggan menerusi pasaran GTR di setiap gerai, ” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selapas menandatangani majlis Memorandum Persefahaman Bersama (MOU) antara GTR Burger dan Marjerin Alif SDO di Sime Darby Plantation pada Isnin.

Turut hadir pada sidang media, Pengasas Bersama GTR Burger, Nordin Mat dan Najib Jalil.

Dalam pada itu, Najib berkata, GTR Burger yang mula beroperasi pada tahun 2021 kini sudah memiliki 300 cawangan dan tiga pusat pemprosesan di Kuching Sarawak, Puchong Selangor dan Kota Kinabalu.

“GTR Burger merancang untuk membuka sehingga 500 cawangan pada Julai nanti dan 1,000 cawangan pada akhir tahun nanti.

“Kami akan pasarkan marjerin ALIF ini ke seluruh cawangan kami.

“GTR Burger memang mempopularkan bahan tempatan, produk tempatan guna daging segar tempatan, sekarang sokong GLC tempatan iaitu SDO disamping membantu membuka peluang niaga kepada anak tempatan.

“Kolaborasi perniagaan Bumiputera ini mampu mengangkat dua jenama tempatan dalam satu platform, lagipun jenama ALIF sangat sesuai untuk roti GTR, sesuai untuk produk roti John, ” katanya.

Terdahulu GTR Burger memaklumkan kerjasama bersama Pertubuhan Rezeki Infaq (RI) untuk melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sempena kedatangan bulan Ramadan nanti.

Dinamakan “Kebahagiaan Ramadan 2023”, program yang akan dilancarkan itu nanti mensasarkan dua juta umat Islam menerima manfaatnya.

Kerjasama dengan RI itu juga membuka peluang kepada pihak-pihak lain untuk beramal sempena bulan Ramadan menerusi infak dan sedekah jariah menerusi program tersebut.

Orang ramai yang mahu menyertai peluang niaga bersama GTR Burger boleh melayari www.gtrburger.my.