PUCHONG – UMNO Puchong menuntut pemilihan bagi jawatan Ketua Bahagian di daerah itu diadakan semula berikutan dibimbangi wujud unsur sabotaj kerana kejadian ‘blackout’ ketika pengiraan undi.
Tuntutan itu dikemukakan oleh beberapa ahli UMNO Puchong yang mahu proses pemilihan dilakukan lebih telus dan adil.
Wakilnya, Khalid Lambak berkata, kejadian ‘blackout’ berlaku pada jam 1.37 petang pada 18 Mac iaitu Sabtu lalu, dan pulih kira-kira dua minit kemudian.
“Kami berasa keraguan, proses undi berlaku blackout, dan merasakan ia konspirasi, untuk sabotaj hari pemilihan terbabit.
“Saya diberi amanah untuk awasi proses kira undi pada hari berkenaan.
“Peringkat awal proses berjalan lancar, dalam setengah jam sebelum kira undi, tiba-tiba blackout dan masing-masing kedengaran panik. Saya sendiri tidak nampak apa berlaku, ” katanya pada sidang media.
Khalid adalah wakil kepada calon Ketua Bahagian UMNO Puchong iaitu Ustaz Azmir Yuzaimi Mohd Yunos yang juga pesaing terdekat kepada penyandang, Datuk Satim Diman dan Kamsani Kamaruddin.
Untuk rekod, Satim berjaya mempertahan kedudukannya dengan jumlah undi 152, Azmir (110), Kamsani (62) dan lapan undi rosak.
Dalam pada itu, calon Naib Ketua bahgain, Azmi Jaafar berkata, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bukit Jalil pada 19 Mac, Ahad lalu.
Katanya, blackout adalah taktik lama yang diulang kembali, yang pada pandangannya ada perancangan rapi di sebaliknya.
“Kita tak tahu apa yang berlaku ketika itu, selepas kita fikir, proses kejadian berlaku, macam-macam boleh berlaku.
“Saya juga dimaklumkan semua petugas bawa masuk telefon bimbit pada hari kejadian sedangkan sudah termaktub dalam peraturan tidak boleh.
“Kenapa dalam situasi kritikal boleh blackout? Bagi saya ia ada unsur yang tidak sihat jika tiada tindakan diambil, ia akan jadi budaya untuk capai matlmat diluar jangkaan,” katanya.
Katanya, isu berkenaan dijangka dibawa ke Majlis Kerja Tertinggi untuk siasatan lanjut.