KUALA LUMPUR – Dua individu masing-masing pengarah dan pengasas syarikat penyedia penyelesaian pembayaran tanpa tunai, Revenue Group Berhad (Revenue) mengumumkan peletakan jawatan.
Menerusi kenyataan bersama, mereka adalah Ng Shih Chiow, 50, dan Ng Shih Fang, 47.
“Syarikat teknologi ini kami yang asas dan bina dari awal sejak 2003.
“Kami telah merintis penyelesaian pembayaran untuk pelabur sejak hari pertama.
“Etos Revenue – teknologi pembayaran tanpa tunai mencerminkan masa lalu dan masa depan syarikat, inovasi yang kami sediakan berdasarkan penyelidikan dan pembangunan kami.
“Kami bukan lagi menjadi sebahagian daripada syarikat ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Mereka turut menepis banyak dakwaan tidak berasas, sepanjang usaha untuk mencapai matlamat syarikat.
“Kami bersungguh-sungguh mempertahankan diri terhadap dakwaan ini,” katanya.
Mereka bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada penyokong, pelanggan dan kakitangan syarikat yang pernah bersama, termasuk di Etos Revenue.
“Etos Revenue akan kekal bersama kami sehingga kami membina dan mencari platform baharu, ” katanya.
Terdahulu, pada 13 Mac lalu, kedua mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menyalahgunakan harta syarikat mereka tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah, enam tahun lalu.
Kedua adik-beradik berkenaan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama menyebabkan seorang pegawai CIMB Bank Berhad melupuskan sebuah kereta jenis Toyota Vellfire milik syarikat berkenaan.
Tindakan itu didakwa dibuat tanpa resolusi Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut dengan mendaftarkannya atas nama Shih Fang (tertuduh kedua).
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Genting Kelang, di sini pada 3 Oktober 2018.
Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.