KUALA LUMPUR – Bekas isteri ahli perniagaan terkemuka, Emilia Hanafi memaklumkan tiga anaknya belum menerima kad kredit peribadi baharu daripada bapa mereka, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin sebagaimana yang diuar-uarkan.
Emilia ketika dihubungi berkata, selepas perceraian pada 2016, hanya satu kad kredit dengan had pengeluaran RM5,000 diterima, yang dikongsi anak-anak RM1,666 seorang setiap bulan, yang mempunyai tempoh tamat lapan bulan sahaja.
“Namun kad kredit yang diterima pada 2018-2019 hanya diterima lapan bulan sahaja.
“Bagaimanapun pemberian sesuka hati, anak dipotong RM1,000 seorang sebulan sepanjang tempoh itu, (wang anak yang diberi SM Faisal adalah RM2,000 sebulan seorang) .
“Bagi kad kredit baharu ini, anak-anak belum terima.
“Sebenarnya, wang diberi kepada anak-anak tidak cukup kerana mereka bersekolah di sekolah antarabangsa (atas arahan mahkamah), kos makan minum, pengangkutan, buku dan lain-lain.
“Ramai yang beranggapan, ada kad kredit, tak ada had pengeluaran tetapi walaupun kad kredit diberi kepada anak, pemberian wang mereka pula dipotong setiap bulan.
“Hakim syariah sebelum ini membenarkan nafkah interim anak RM2,000 sebulan dan dia perlu bayar perbelanjaan persekolahan anak2 di sekolah antarabangsa.
“Bila semak balik, tidak ada beza RM2,000 itu diberi melalui cek atau kad kredit. Ada pula yang mengatakan saya tak syukur dah bagi kad kredit, sedangkan saya berjuang untuk anak-anak,” katanya.
Emilia turut menambah, hari lahir anak ketiganya tidak diambil peduli pada tahun 2021 dan 2022, menyebabkan kanak-kanak itu terkilan tidak menerima duit hari lahir seperti dua abangnya, pada tempoh sama.
Susulan itu, katanya, pihaknya memohon tuntutan bagi anak ketiganya itu.
Terkini, Emilia berkata, sebahagian barangan hadiah yang dinyatakan pihak Faisal yang tular hari ini di media sosial sudah diterima kecuali kad kredit baharu.
“Cuma dari sudut nafkah, masih belum mencukupi. Kalau yang kita semua faham, hadiah bukanlah sebahagian dalam nafkah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Emilia Hanafi tular di media sosial sehingga menerima pelbagai reaksi netizen selepas memberitahu di mahkamah bahawa wang nafkah bagi ketiga-tiga anak lelakinya tidak mencukupi sehingga dia sendiri menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan antaranya menjual roti jala dan kerepek bagi menampung kos untuk mereka.
Terbaharu, sebuah portal melaporkan, Faisal memuat naik satu hantaran di Instagram, dengan imej tiga kad kad kredit khas untuk kegunaan ketiga-tiga anak lelaki kesayangannya.
Beliau turut titipkan pesanan dengan adanya kad kredit untuk kegunaan dapat memudahkan ketiga-tiga anaknya itu menguruskan perbelanjaan harian mereka.
“Kepada Fawwaz, Faiz, Farhan yang saya sayangi, ini ada tiga kad kredit, satu untuk digunakan oleh setiap seorang. Ia milik awak semua untuk buat apa yang awak semua mahu, tapi Daddy yakin awak bertiga akan menggunakannya dengan bijak untuk keperluan sekolah, kolej dan peribadi anda semua.
“Sekarang awak semua menguruskan dana masing-masing sendiri. Buat yang terbaik untuk berjimat dan ketepikan sedikit wang untuk pelaburan, sebelum anda berbelanja.
“Jadikan ia satu tabiat yang baik, mulakan dari kecil, dan lakukan setiap minggu. Lama kelamaan, anda akan mempunyai lebih banyak lagi untuk diri sendiri, melabur dan berbelanja dalam apa sahaja yang anda semua mahu atau perlukan,” petik hantaran Instagram yang dipercayai dikendalikan oleh Faisal.
Kad kredit berkenaan adalah jenis Maybank Islamic Platinum Master Card, Gold Master Card dan Petronas Visa Platinum.
Faisal turut berkongsi kata-kata hikmah daripada pelabur terkemuka dunia, Warren Buffet; jangan simpan apa yang tinggal selepas berbelanja, sebaliknya belanjakan apa yang tinggal selepas menyimpan.
Terdahulu Faisal berkongsi beberapa gambar di mana beliau menghadiahkan kesemua anaknya itu dengan beberapa produk Apple yang terdiri daripada Apple iPhone 14 Pro, iPad, Apple Watch, aksesori-aksesori lain termasuk iPad Magic Keyboard.