SHAH ALAM – Julung kalinya, Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia (MATFA) buat julung kalinya menganjurkan anugerah berprestij, Anugerah Golden Horse 2023 bagi mengangkat pemain taman tema negara.

Bertemakan ‘The Greatest Show’ di Hotel First World Genting Highland, pada 11 Jun depan, acara berkenaan bakal mengiktiraf 35 pengusaha taman tema dan pusat hiburan negara yang banyak membantu ekonomi, sosial dan pelancongan negara.

Presiden MATFA, Tan Sri Richard CK Koh berkata, pada tahun lalu taman tema di Malaysia menerima kira-kira tujuh juta pengunjung di mana 30 peratus daripadanya adalah pelancong asing.

“Perolehan pendapatan tahun 2019 dianggarkan mencecah RM3. 12 bilion dengan peluang pekerjaan lebih 40,000 orang.

“Bagaimanapun selepas penutupan pusat sepanjang PKP akibat Covid-19, dan mula beroperasi sepenuhnya tahun lalu kunjungan belum capai sasaran iaitu 70 peratus daripada tujuh juta dan kita harap pertambahan menerusi pengiktirafan terhadap pemain industri.

“Anugerah seperti ini menggalakkan pihak berkaitan meningkatkan lagi tahap keselamatan kanak-kanak dan keluarga ketika berhibur,” katanya pada sidang media pelancaran Anugerah Golden Horse 2023 MATFA di TheFOODtree @ OWG (Only World Group), Glenmarie, di sini.

Turut hadir, Pengarah Kanan Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar; Timbalan Presiden MATFA, Ck Ang; Pengerusi Program, Datuk Seri Dr Raymand Liew dan Penasihat MATFA, Datuk Dr At Kumararajah.

Antara penaja anugerah berkenaan adalah Gamuda Land, dan Sunway Resort World dan diharapkan syarikat korporat lain turut menyumbang dalam usaha ini.

Tambah Richard, menerusi sumbangan penajaan untuk anugerah dan pemberian kepada pengusaha-pengusaha yang berjaya agar mereka dapat meningkatkan keselamatan di premis masing-masing.

“Keselamatan adalah polisi utama pengusaha taman tema dan SOP keselamatan mengikut standard Disney World.

“Ada premis yang jalankan pemeriksaan keselamatan setiap jam bagi memastikan keselamatan pengunjung di tahap optimum.

“MATFA adalah NGO paling aktif di Asia Tenggara bagi membantu menyebarluas taman-taman tema dan pusat hiburan, ” katanya.

Orang ramai yang berminat menyertai anugerah ini boleh hubungi Sekretariat MATFA , Jackie Thian di talian 012 2940880 atau adm.matfa@gmail.com.