SHAH ALAM – Selepas Puteri Sarah Liyana, giliran selebriti dan pelakon Diana Danielle pula tegas dengan pendiriannya untuk menuntut cerai daripada suaminya, Farid Kamil.
Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson berkata, segala alasan Farid termasuk dakwaan dia ada orang ketiga bukan untuk menyelamatkan rumah tangga.
Sebaliknya, Farid dipercayai memberi alasan itu kerana hanya mahu menyelamatkan air mukanya.
Justeru, Diana, 32, menafikan dakwaan kantoi curang, dan menyifatkan Farid, 42, memfitnahnya.
“Ia fitnah, masalahnya (timbul) adalah dia 100 peratus, bukan saya.
“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tu, dia dah hilangkan selama lapan tahun, baru hari ini dia beli balik.
“Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia belikan cincin kahwin saya dan kenapa bawa bunga?,” katanya menjawab soalan wartawan di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, di sini.
Mengulas mengenai dakwaan Farid tidak bertemu anak-anak selama 23 hari sehingga kini, Diana berkata, Nur Aurora, kini berada dalam keadaan trauma.
“Aurora trauma,” katanya yang enggan menjawab punca anaknya itu trauma.
Terdahulu, Diana dan Farid hadir ke mahkamah di sini memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari mencuri perhatian tiba dengan membawa sejambak bunga mawar merah bagi memujuk Diana pagi ini.
“Bunga ini untuk Diana tanda perdamaian pertama,” katanya ringkas ketika ditanya sebab membawa sejambak bunga.
Pada 10 Mac lalu, Diana memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.
Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Aurora, 8.