KUALA LUMPUR – “Kenangan tidak boleh dipadam, jadi reda dengan takdir masa lalu, dan mulakan sinar kehidupan baharu dengan lebih positif.
Tidak lupa, untuk memaafkan mereka supaya fikiran lapang dan tidak membawa beban dalam hati lagi.”
Demikian pesanan yang dititipkan penyanyi bersuara emas, Ziana Zain kepada mereka yang mahu membuka lembaran hidup baharu selepas perceraian.
Ziana atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain berkata, dia kini sedang bahagia menempuhi fasa selesa dalam kehidupan bersama anak dan keluarga, selepas lima tahun bercerai dengan bekas suami pada 2018.
Malah, primadona negara yang mesra disapa Kak Gee itu semakin sibuk memenuhi tiap ruang masa dengan tuntutan kerjaya lakonan dan nyanyiannya.
“Buat masa ini, Kak Gee seronok dengan kehidupan sekarang, lebih banyak masa untuk diri sendiri, anak-anak dan keluarga Kak Gee, akan datang kita tak tahu.
“Kak Gee pun sudah lama memaafkan semua tak kira siapa pun, sebab Kak Gee ingat pesanan mak Kak Gee, apa orang buat pada kita, selalu maafkan nak, sebab kita pun bukan sempurna.
“Bila kita memaafkan orang, kita rasa lega, rasa macam tak ada hutang dengan orang, cuma minta Allah tenangkan hati, luaskan perjalanan, diberi kehidupan lebih baik dunia akhirat, yang baik-baik datang,” katanya.
Ziana berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas mengenai isu keganasan rumah tangga artis dan selebriti yang ‘dihidangkan’ hampir setiap hari di media.
Pelakon Maria Mariana itu turut mengingatkan supaya menerima takdir bahawa kenangan lalu meskipun ia pahit, akan terus kekal terpahat dalam ingatan kita sampai bila-bila, namun perlu mengubah diri ke arah lebih positif.
“Kita tak boleh selalu hidup dalam masa lalu, tapi kenangan itu tetap akan datang sekali sekala, itu biasa.
“Kita buat keputusan, ‘move forward’ (reda dan ikhlas) kalau masih ke belakang, tak akan move on sampai bila-bila. Biarkan, dan itu (ketetapan) semua Allah punya kuasa,” katanya.
Terdahulu, Pelantun lagu Anggapanmu itu hadir ke Majlis Berbuka Puasa Rizman Ruzaini bersama barisan artis, selebriti, dan pempengaruh, di Hotel Shang-ri La, di sini.
Untuk rekod, Ziana Zain pernah berkahwin dengan Armin Zaharin Ahmad Zambri pada tahun 1998 dan mereka dikurniakan empat anak iaitu Muhammad Aiman, Muhammad Ammar, serta pasangan kembar iaitu Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh.
Bagaimanapun, perkahwinan Ziana dan pasangannya hanya bertahan selama 20 tahun selepas dia melalui episod hitam dan trauma rumah tangga, dengan lafaz cerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 12 Julai 2018.