PUCHONG – Kelebihan Tabung Haji (TH) sebagai antara instrumen pelaburan terbaik memberi pelbagai manfaat kepada pendepositnya termasuk untuk dana kecemasan.
Justeru, pihak pertubuhan bukan kerajaan, Yayasan Ihsan Rakyat (YIR) mengambil keberkatan pada bulan Ramadan untuk menggalakkan golongan bersasar supaya membuka akaun TH dengan kadar minimum RM2 sahaja.
Ketua Pegawai Eksekutif YIR, Datuk Rozzana Rahmat berkata, pihaknya mengadakan kerjasama dengan TH untuk mengadakan program sumbangan kepada golongan asnaf, sekali gus menggalakkan rakyat membuka akaun berkenaan.
“Pada program ini, pihak YIR dan TH menyampaikan sumbangan berbentuk keperluan asas seperti beras, gula, susu, sirap, sardin, kepada kira-kira 100 orang yang betul-betul asnaf.
“Pada masa yang sama, kami galakkan mereka dan penduduk di sekeliling mereka untuk membuka akaun TH supaya mereka boleh menyimpan dengan niat untuk menunaikan haji nanti,” katanya kepada media.
Rozzana berkata demikian pada program Sumbangan Ihsan Ramadhan TH Wilayah Persekutuan bersama My#INFAQIHSAN di pekarangan Surau AsSyakirin, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, di sini, pada Sabtu
Turut hadir, Pengarah TH Wilayah Persekutuan, Ezham Leman.
Rozzana yang juga pengasas My#INFAQIHSAN itu berkata, pihaknya menyasarkan 800 pendeposit TH pada program itu dengan turut memberi sumbangan dana modal pembukaan akaun.
“Kita nak mereka ada kesedaran yang mereka perlu ada akaun TH, yang sudah berumur pun ada yang belum buka akaun.
“Tetapi selepas buka akaun, Allah akan buka jalan untuk niat membuka akaun ini, juga langkah pertama menunaikan haji,” katanya.
Untuk rekod, TH juga disifatkan sebagai instrumen pelaburan terbaik, selain modal paling minimum, ia juga tiada had simpanan dan pengeluaran.
Keuntungan tahunan TH juga akan dikongsi kepada pendeposit melalui pengagihan hadiah dalam bentuk dividen dan bonus.
Bagaimanapun, TH juga boleh dianggap instrumen simpanan terbaik untuk dana kecemasan, dana rizab atau simpanan perbelanjaan (duit yang disimpan untuk dibelanjakan seperti membeli barang atau pergi melancong).