KUALA LUMPUR – Tempoh 17 tahun dalam industri fesyen dan hiburan mematangkan jenama berprestij, Rizman Ruzaini (RR), sehingga mampu menabur semula bakti hampir setiap masa.
Mana tidaknya, jerih-perih membina nama dan legasinya sehingga mampu dikenali dalam dan luar negara.
Menginsafi perjalanan turun naik dalam dunia perniagaan serta memahami kos sara hidup rakyat, RR kini banyak menjalankan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Ketua Pegawai Eksekutif Rizman Ruzaini, Rizman Nordin berkata, CSR RR sebenarnya telah lama dilaksanakan namun kali ini lebih manis kerana kolaborasi bersama Hotel Shangri-La.
“Seramai 400 orang termasuk rakan selebriti yang lama dan baru berkolaborasi, rakan media, model, pemain-pemain industri, rakan kolaborasi, anak-anak asnaf, keluarga sahabat handai dan pengamal media, hari ini berkumpul di sini.
“Kerjasama dengan rakan artis sudah lama terjalin di mana RR membangun bersama mereka, majlis ini juga sebagai tanda penghargaan.
“Pertalian dengan Shangri-La amat baik dimana mereka sudi beri peluang jenama RR menyewa di hotel ini, ” katanya kepada media selepas Majlis Berbuka Puasa RR di Hotel Shangri-La pada Jumaat.
Ziana Zain, Ning Baizura, Liza Hanim, Erni Zakri, Amelia Henderson, Emma Maembong, antara artis jemputan yang hadir pada majlis berkenaan.
Ketika ditanya pandangan Rizman mengenai artis yang membina jenama sendiri selepas kolaborasi dengan RR, jelasnya dia sentiasa berkongsi perkembangan yang positif.
“Saya gembira jika ada rakan artis mengembangkan produk mereka sendiri, rezeki masing-masing berbeza tetapi kita sama-sama dalam dunia ini saling menyokong antara satu sama lain,” katanya.