SHAH ALAM – Pelakon, Datuk Aaron Aziz memberi amaran kepada Sharnaaz Ahmad supaya tidak mencampuri urusan tidak berkaitan dengan dirinya.

Aaron tidak mahu Sharnaaz yang juga seorang pelakon itu campur tangan dalam konflik yang tercetus antara dia dan pengarah kontroversi, Syamsul Yusof.

Malah, dia tidak mahu orang luar yang tidak berkaitan memberi sebarang kenyataan berhubung isu sama.

“Kepada yang tidak terlibat dengan produksi (filem The Original Gangster), baik pelakon, atau sesiapa jangan bagi kenyataan.

“Jangan masuk campur. Kalau nak (masuk campur), jumpa saya dulu,” katanya.

Aaron berkata demikian kepada media bagi mengulas campur tangan pihak lain dalam isu berkenaan.

Terdahulu, Aaron hadir sebagai duta tradisi Jakel pada Majlis Pelancaran lokasi baharu gedung tekstil Jakel di Shah Alam, dekat sini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel bersama pelakon, Nabil Ahmad yang juga duta Jakel.

Sharnaaz dilaporkan memberi reaksi terhadap isu terbabit di Instagramnya.

Sharnaaz antara lain meminta kedua pihak agar menghentikan pergaduhan dan menghormati bulan Ramadan.

Hubungan Syamsul dan Aaron mulai dingin selepas pelakon tersebut digugurkan daripada membintangi filem The Original Gangster.

Lebih memanaskan keadaan apabila Syamsul mendedahkan faktor usia, berat badan dan masalah kesihatan sebagai punca Aaron digugurkan daripada filem itu.