KUALA LUMPUR – Sindiket ejen kereta tunda terus berkuasa di atas jalan raya dengan modus operandi berbeza.
Jika sebelum ini, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan sindiket ejen menunda kereta yang berbaki hutang pembiayaan berjumlah RM5,000 lagi, atau erti kata lain, sudah dilangsaikan lebih 90 peratus daripada RM120,000.
Kali ini lebih mengejutkan apabila ada ejen kereta tunda mengenakan kos penyimpanan kereta tunda, sebanyak RM5,000 sehari!
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, sekali lagi sindiket kereta tunda giat beroperasi malah tanpa sebarang surat mahkamah, permit tarik atau surat kebenaran asal oleh pihak bank.
Katanya, PPIM menerima aduan sindiket kereta tunda dengan situasi lebih kurang sama, yang berlaku sekitar Kajang, Isnin lalu
“Pemilik kereta tidak pernah ada masalah lewat bayaran dan sudah menjelaskan pembiayaan sebanyak 90 peratus, baki bayaran hanya 10 peratus sahaja.
“Dia cuma terlambat bayaran dua bulan dan keretanya di tarik ketika hantar anak ke sekolah.
“Mengejutkan apabila ejen kereta tunda mengenakan bayaran RM16, 000 untuk pelepasan di mana RM5, 000 kos penyimpanan sehari, ia melampau!,” katanya kepada media.
Terdahulu, PPIM pernah dedahkan sebuah kereta jenis Volkswagen milik ahli PPIM yang sudah dijelaskan bayaran RM120,000 ditarik agensi kereta tunda lantikan Public Bank tanpa sebarang surat mahkamah, permit tarik atau surat kebenaran asal oleh pihak bank.
Baki pembiayaan kereta itu hanya RM5,000 tetapi tidak berpuas hati dengan tindakan pihak bank yang mengarahkan agensi of tarik kereta berkenaan walaupun pembiayaan sudah melebihi 90 peratus.
Untuk rekod, institusi kewangan tidak dibenarkan untuk menarik kenderaan yang gagal membuat bayaran bulanan sekiranya penyewa telah melunaskan lebih 75 peratus daripada jumlah pinjaman sewa belinya menerusi Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2010.
Dengan pindaan syarat itu, institusi kewangan perlu mendapatkan perintah mahkamah sebelum boleh menarik kenderaan tersebut.
Pemunya (institusi kewangan) hanya boleh melaksanakan proses pengambilan semula melalui perintah mahkamah jika penyewa (pemilik kenderaan) telah membayar lebih daripada 75 peratus daripada jumlah keseluruhan harga tunai barangan tersebut yang dinyatakan di dalam perjanjian sewa beli berasaskan bayaran ansuran bulanan mereka.
MEDIA VARIASI sebelum ini, ada mangsa mengadu ke PPIM mendakwa kereta dijadikan tebusan, ekoran sindiket tunda kereta yang bekerjasama dengan bank, mengenakan caj melampau.
Turut tular isu tunda kereta di Pusat Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) pada Ogos 2022, kerana dikatakan menunda kereta pengunjung termasuk milik pihak media tanpa sebarang notis.
Syarikat ‘towing’ berkenaan, malah lebih berani menunda kenderaan dengan saman RM100 walaupun tidak ada lesen tunda untuk menunda di lokasi berlangsung program, MAEPS, Serdang ketika itu, sehingga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengarah untuk menghentikan operasi berkenaan serta-merta.
Peguam, Nazri Yahya juga dilaporkan berkata, mana-mana individu yang kereta mereka ditunda oleh pihak persendirian boleh membuat laporan polis.
Katanya, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, mana-mana orang yang mengambil dan membawa pergi sesuatu kenderaan tanpa izin sama ada pemilik atau tanpa kuasa yang sah, adalah satu kesalahan.
Hanya polis, JPJ dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ada kuasa untuk ambil tindakan terhadap kesalahan melibatkan salah parkir termasuk kuasa untuk mengalihkan kenderaan persendirian.