PETALING JAYA – Pelbagai kempen diadakan oleh ramai pihak dalam usaha memeriahkan suasana Hari Raya yang bakal menjelma tidak lama lagi.
Stesen radio popular, Suria FM turut mengambil peluang menyajikan pelbagai program hiburan menarik menerusi kempen ‘Melakar Pahala Warnai Raya’.
Lebih istimewa, drama pendek bertajuk ‘Raya Akhir’ menjadi taruhan yang turut menjadikan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu menjadi lagu tema drama berkenaan.
Drama pendek ini dilakonkan sendiri oleh barisan penyampai radio Suria FM seperti DJ Lin, Ajak, Shuib, Suraya, Cik Piah, Rara, Tyzo dan Anna J.
Berkongsi mengenai drama pendek berkenaan, Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin berkata, idea dan konsep asal drama itu diangkat berkisahkan kejadian yang pernah berlaku.
Manakala watak utama diberikan kepada Shuib berikutan dia adalah penyampai radio baru Suria FM.
“Drama ini mendapat sentuhan beberapa orang termasuk Ajak yang berkongsi pengalaman pernah bertemu dengan orang yang bakal buta.
“Keseluruhannya kami berpuas hati dengan konsep dan tema yang dipersembahkan,” katanya pada majlis berbuka puasa dan pelancaran program raya Suria FM, baru-baru ini.
Drama itu juga turut menjemput biduanita tanah air Uji Rashid.
Meskipun berdurasi kurang daripada 1 jam, namun jalan ceritanya cukup meruntun hati.
Raya Akhir mendapat tajaan Yayasan Maghfirah berkisar tentang Akhir, seorang pemuda yang mengalami perubahan sikap sehingga menimbulkan tanda tanya keluarga dan masyarakat sekeliling.
Ada juga yang mengatakan bahawa Akhir terlalu sensitif terhadap dirinya, tetapi dia semakin ke arah kebaikan dengan kerap berbual bersama ustaz juga sering ke tempat pengagihan barangan sedekah.
Namun, semuanya terbongkar apabila rakan karibnya menjumpai sesuatu di dalam bilik Akhir.
Antara program istimewa lain yang turutu disajikan ialah Carta Suria Top 40 Raya, Morning Morning Suria Raya, Suria Petang Raya, Lagu raya Suria 2023 serta video muzik ‘Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu’, disebalik tabir (BTS).
Ke semua program ini boleh didengarkan menerusi frekuensi Suria FM juga di platform digital Suria antaranya laman web www.suria.my, saluran YouTube Suria TV serta media sosial Suria Malaysia (Facebook, Instagram, dan Tiktok).