Kuala Lumpur – CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB Group”) kekal aktif dalam menyokong golongan kurang berkemampuan melalui program Harapan Ramadan. Sempena bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya yang akan tiba, program khidmat bantuan komuniti anjuran bersama CIMB Islamic Bank Berhad (“CIMB Islamic”) dan CIMB Foundation menyumbang hampir RM1.9 juta dan dijangka memberi kesan positif kepada lebih 33,000 individu di seluruh negara.
Program ini merupakan kerjasama dengan enam badan bukan kerajaan (“NGO”), iaitu Islamic Relief Malaysia, Yayasan Belia Malaysia, Yayasan Kita Anak Malaysia, Persatuan Belia Seri Cempaka, Pusat Jagaan Kesayangan Mumtahanah dan Maahad Tahfiz Nadi Huffaz, serta 12 rumah anak yatim yang lain.
Barisan penerima program Harapan Ramadan tahun ini terdiri daripada komuniti B40 dan Asnaf, termasuk ketua keluarga, ibu dan bapa tunggal, kanak-kanak, orang kurang upaya (“OKU”), pelarian, warga emas serta golongan yang kurang berkemampuan lain di seluruh negara. Program ini merangkumi pengagihan pelbagai jenis barangan keperluan harian seperti beras, makanan dalam tin, minyak masak dan makanan ruji lain untuk membantu komuniti yang memerlukan membuat persediaan perayaan Aidilfitri. Tambahan pula, wang elaun tunai juga turut disediakan kepada rumah anak yatim untuk menampung perbelanjaan keperluan mereka, di samping memberi peluang kepada anak yatim untuk membeli-belah pakaian raya atau sebarang pakaian pilihan mereka. CIMB juga turut menyebarkan keceriaan dengan menaja beberapa sesi iftar bersama mereka.
Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Islamic berkata, “Banyak komuniti telah terjejas akibat musibah, seperti pandemik COVID-19 dan banjir baru-baru ini. Sebagai sebuah institusi kewangan yang didorong oleh tujuan, CIMB sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada semua lapisan masyarakat. Justeru, kami berbesar hati kerana sekali lagi dapat menganjurkan program Harapan Ramadan pada bulan yang mulia ini. Kami berharap agar sumbangan kami dapat meringankan beban golongan yang memerlukan.”
Rafe Haneef, Ketua Pegawai Eksekutif, CIMB Foundation berkata, “Bulan Ramadan membuka ruang kepada kami untuk menerapkan lagi sifat dan nilai-nilai murni melalui perkongsian berkat bersama komuniti di seluruh Malaysia di mana kami berkhidmat. Kami gembira atas kerjasama dengan CIMB Islamic kerana dapat menganjurkan program Harapan Ramadan untuk memberikan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui program khidmat bantuan komuniti ini.”
Melalui CIMB Islamic, CIMB telah memperjuangkan pelbagai inisiatif untuk golongan Asnaf dan komuniti B40, di samping menyokong pembangunan mereka melalui program-program komuniti seperti Program Keusahawanan Taylor’s – CIMB Islamic, Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, Program International Islamic University Malaysia (“IIUM”) – CIMB Islamic iTAAJIR dan CIMB MicroBizReady. Inisiatif-inisiatif tersebut adalah bertujuan untuk memperkasakan usahawan B40 melalui latihan dan bimbingan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang keusahawanan untuk membantu meningkatkan taraf hidup mereka.
Sementara itu, CIMB Foundation merupakan cabang tanggungjawab sosial korporat dan filantropi CIMB yang memberi fokus kepada empat bidang impak utama iaitu pendidikan; kesihatan dan kesejahteraan komuniti; pemerkasaan ekonomi serta iklim dan alam sekitar. Usaha-usaha tersebut adalah didorong untuk menyumbang ke arah impak lestari terhadap masyarakat sekeliling, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan BangsaBangsa Bersatu.