KUALA LUMPUR – Kolej Antarabangsa Inovatif (IIC) menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Tenaga Kerja Republik Indonesia (Kemnaker) dalam usaha meningkatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi kedua negara Malaysia dan Indonesia.
Presiden IIC, Shahawati Umar berkata, kerjasama ini menggabungkan kepakaran pendidikan berasaskan pembelajaran dalam alam pekerjaan (work-based learning (WBL).
“Program ini sudah bermula sejak awal tahun lagi dan pelajar yang mengikuti program ini akan melakukan tempoh praktikal yang panjang antara 18 hingga 24 bulan.
“Segala kemudahan akan disediakan dan mereka akan diberikan tempat praktikan di hotel 3 hingga 5 bintang yang menyertai kami.
“Buat masa ini kami menyediakan 500 penyertaan yang membabitkan 4,000 tempat dan usaha ini kami harap dapat membantu mengisi pekerjaan dalam industri pelancongan kedua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran majlis menandatangani perjanjian persefahaman berkenaan, semalam.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Innovative Capital Berhad, Datuk Wira Dr Azizan Osman, Pengerusi Innovative International University College (IIUC), Kapten (B) TLDM Profesor Emeritus Datuk Dr Hashim Yaacob dan wakil Kementerian Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Direktur Jenderal Binalavotas, Bapak Budi Hartawan.
Shahawati berkata, program ini tidak percuma namun ia memberi kemudahan yang berbaloi untuk dinikmati oleh pelajar.
“Program ini diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan kami memberi kesamarataan kepada pelajar Indonesia yang mengikuti kursus ini sama seperti pelajar Malaysia.
“Dengan cara yang sama, kami bawa program ini ke Indonesia dan pelajar akan diberi tempat tinggal, makan, pengangkutan serta elaun antara RM1,500 hingga RM2,000 di mana RM600 elaun diberikan kepada mereka dan selebihnya digunakan untuk membayar yuran pengajian,” katanya.
Sementara itu, Budi Hartawan berkata, pihaknya berharap kerjasama ini dapat memberi lebih pengalaman dan kebolehan kepada pelajar praktikal apabila kembalinya ke Indonesia.
“Saya berharap kerjasama ini memberi manfaat kepada kedua negara, pengalaman yang ada pada pelajar mereka gunakan dengan sebaiknya apabila bekerja di Indonesia nanti,” katanya.
IIC menyediakan program work-based learning melalui kerjasama Kemnaker, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Kementerian Pelancongan Malaysia, Politeknik Negeri Media Kreatif Indonesia dan Poli Negeri Pariwisata Medan.
Pelajar bakal ditempatkan di beberapa hotel lima bintang di seluruh negara termasuk Renaissance Hotel, Element by Westin, Attana Group, Le Meridian dan Platform Hospitality Group and Malaysia Association of Hotel.
Tiga program pengajian yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi adalah Diploma dengan Work-Based Learning iaitu Diploma Hotel Management dengan Work-Based Learning, Diploma Retail Management dengan Work-Based Learning dan Diploma in Culinary Art dengan Work-Based Learning.