KUALA LUMPUR – Program realiti, Big Stage edisi musim kelima mencatat sejarah baharu industri hiburan dengan penampilan pasangan artis negara, Aeril Zafril dan Wawa Zainal sebagai penaja utama.
Pembabitan pasangan itu menjadikan mereka artis pertama sebagai penaja program TV tempatan yang sebelum ini dimonopoli oleh usahawan kosmetik tempatan.
Wawa dan Aeril dikatakan sanggup berhabis jutaan ringgit untuk menaja Big Stage dengan penyertaan 12 peserta, musim kali ini.
Wawa, 32, atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dia teruja apabila dipelawa menjadi penaja utama Big Stage, yang selama ini mempunyai pengikut tersendiri.
“Sebelum ini kami ada juga mendapat tawaran untuk menaja beberapa program TV lain, tapi mungkin ketika itu masa tidak kena. Selain anggap belum rezeki kami bersama dengan program terbabit.
“Untuk kali ini, kami ditawarkan untuk menaja Big Stage pula. Selepas mempertimbangkan beberapa perkara dan melihat perkembangan program ini dari musim pertama, itu yang saya dan Aeril bersetuju.
“Insya-Allah, dengan sambutan yang diberikan pada program ini, jenama kami juga boleh bergerak seiring,” katanya kepada pemberita.
Menurut Wawa, sebagai penaja, pihaknya mengambil berat dengan tanggungjawab berkenaan buat diri dan jenama yang dibawa.
“Orang mungkin ingat menjadi penaja ini akan popular, tapi ada beban dan tanggungjawab besar perlu kami galas.
“Kos yang dikeluarkan juga bukan jumlah kecil. Jadi, ia ibarat satu pertaruhan berani daripada Wawa Cosmetics,” katanya.
Kesemua 12 peserta program realiti Big Stage musim kelima sudah diperkenalkan dan mempamerkan persembahan menarik pada minggu pertama yang berlangsung semalam.