KUALA LUMPUR – Awesome TV kembali menganjurkan Mic On edisi Selebriti iaitu Mic On Selebriti yang menggabungkan elemen nyanyian dan komedi bagi merebut gelaran juara sekaligus memenangi hadiah bernilai sehingga RM250,000.
Bakal bersiaran selama 10 minggu pada setiap hari Sabtu, jam 9.00 malam mulai 20 Mei secara eksklusif di platform Astro 123 dan MyTV 112, Mic On Selebriti dikendalikan oleh Shiha Zikir dan Jaa Suzuran.
Seramai 12 barisan pelakon popular yang akan berentap di pentas utama ‘Mic On Selebriti’ untuk membuktikan bakat dan kebolehan masing-masing dalam bidang nyanyian dan mereka adalah terdiri daripada 7 peserta lelaki iaitu Zul Huzaimy, Fauzi Nawawi, Johan As’ari, Namie, Chiwan, Ammar dan Anas Ridzuan.
Manakala 5 peserta wanita pula termasuklah Sherry Ibrahim, Mona Allen, Elly Arifin, Afifah Nasir dan Amyza Aznan.
Kesemua mereka akan dibahagikan kepada tiga buah kumpulan dan diletakkan di bawah pengawasan manager yang telah dilantik sepanjang pertandingan berlangsung.
Manakala 3 penyanyi terkenal tanahair iaitu Black Hanifah, Hazama dan Aepul Roza telah diberi mandat selaku manager yang akan memberi idea, tunjuk ajar dan bimbingan kepada 4 orang selebriti di bawah naungan mereka.
Bagi merancakkan lagi cabaran program ini, kesemua manager juga akan diberi tugasan mingguan yang perlu dinilai oleh barisan juri.
Manager yang berjaya merangkul persembahan terbaik setiap minggu akan menerima ganjaran istimewa.
Sementara itu, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata, Awesome TV sentiasa akur dengan permintaan audiens yang mahukan pengisian berkualiti dan terkini.
Justeru, ‘Mic On Selebriti’ adalah sebuah lagi testimoni saluran dalam menawarkan program-program hiburan beraneka format khusus untuk tontonan ramai.
“Program pencarian bakat ‘Mic On’ yang mula diperkenalkan pada tahun 2021 dengan misi utama mencungkil pelapis penghibur baharu versatil.
“Selepas dua musim bersiaran, format asal ‘Mic On’ disuntik dengan pembaharuan segar untuk kekal relevan sekaligus meningkatkan kredibiliti dan daya tarikan yang lebih besar terhadap program berkenaan.
“Sebanyak dua penganjuran edisi yang terbaharu bakal menyaksikan pertembungan sengit barisan pelakon popular tanah air yang akan memperlihatkan bakat terpendam dalam bidang nyanyian serta sisi komedi dalam diri mereka.
“Kami percaya kesemua mereka mampu menyahut cabaran ini sekaligus memanfaatkan platfrom yang telah disediakan bagi mengembangkan bakat yang ada untuk menembusi bidang nyanyian pula.
“Kami juga berharap semoga penganjuran ‘Mic On Selebriti’ mampu melonjakkan jenama dan karier seni peserta ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus bertahan lama dalam bidang hiburan yang kompetitif dan serba mencabar ini,” katanya.
Selain itu, Ezzan berkata, pihaknya juga amat berbesar hati di atas kesudian kesemua selebriti yang terbabit dengan program ‘Mic On Selebriti’ musim ini.
“Kepercayaan dan komitmen mereka amat dihargai dan kami pasti edisi ini akan lebih meriah dengan kehadiran mereka,” katanya.
Sistem pemarkahan program ‘Mic On Selebriti’ akan diadili 100 peratus oleh juri tetap berdasarkan tiga komponen utama penilaian iaitu aspek vokal yang mewakili 50 peratus, persembahan sebanyak 30 peratus dan 20 peratus lagi untuk kreativiti.
Uniknya, markah selebriti yang tertinggi akan dicampurkan dengan markah selebriti terendah. Kumpulan yang mencatat markah keseluruhan terendah akan mara ke pusingan penyingkiran.
Selebriti yang akan tersingkir pada setiap minggu akan dipilih oleh manager kumpulan itu sendiri.
Tiga nama besar yang dilantik sebagai juri tetap program ‘Mic On Selebriti’ ialah Hashridz Murshim atau lebih dikenali dengan nama Datuk Acis yang bertindak sebagai pengarah muzik, Datuk Aaron Aziz dan Erra Fazira.