KUALA LUMPUR – Bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air, filem Anwar: The Untold Story menerima pelbagai reaksi daripada mereka yang menontonnya pada tayangan perdana yang diadakan minggu lalu.
Bagi penulis yang turun menyaksikan filem ini, kisah biopik mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini adalah Perdana Menteri Malaysia, ia satu karya menarik yang boleh dijadikan kenangan dan pedoman.
Tiada niat membuka cerita lama atau membangkitkan isu fahaman politik, filem ini lebih berkongsikan kisah sisi peribadi Anwar sebagai seorang suami, bapa dan ahli politik.
Kehadiran Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyaksikan tayangan perdana filem itu turut memecah keheningan malam apabila ramai yang melaungkan ‘Reformasi’.
Anwar: The Untold Story diarahkan oleh pengarah Indonesia Viva Westi dan dibintangi oleh pelakon popular tempatan iaitu Farid Kamil Zahari sebagai watak utama dan pelakon Indonesia Acha Septriasa sebagai watak Dr Wan Azizah, Hasnul Rahmat sebagai Dr Mahathir Mohamad, dengan Piet Pagau serta Dewi Irawan sebagai ibu bapa Anwar.
Kartunis dan aktivis politik, Zulkiflee Anwar Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar adalah antara penerbit filem ini.
Farid Kamil meluahkan rasa syukur dan gembira kerana akhirnya filem Anwar: The Untold Story dapat ditayangkan.
Filem itu, berlatarkan tempoh antara 1993 dan 1998, mengikuti kisah perjuangan Anwar menentang rasuah semasa menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, yang membawa kepada pemenjaraan akhirnya dan kelahiran gerakan Reformasi.
Tajuknya memberi bayangan bahawa perkara yang akan digambarkan dalam 90 minit akan datang adalah cerita yang belum kita ketahui atau pernah dengar atau baca.
Apa yang ditunjukkan ialah dramatisasi perjuangan Anwar dan keluarganya semasa kemuncak pemenjaraannya di lokap Bukit Aman.
Rentetan pembukaan yang dramatik menyaksikan Anwar dibawa masuk ke dalam selnya dan kemudiannya dipukul.
Selama berhari-hari, dia enggan makan atau menukar pakaiannya yang berlumuran darah, kerana itu adalah bukti kekejaman yang dia alami di tangan penyiksanya.
Ini hanyalah cebisan daripada cerita yang tidak terungkap di sebalik kisah umum Anwar Ibrahim. Meskipun pelakon dalam filem Anwar kedengaran loghat Indonesia yang meresap ke dalam dialog kerana 90 peratus adalah pelakon Indonesia, namun penghayatan mereka terasa begitu dekat dengan kejadian.
Malah Anwar sendiri meluahkan tersentuh dengan filem ini yang mengangkat kisah perjuangan politiknya.
Mengingatkan beliau mengenai perit dan beban yang harus ditanggung oleh isteri, anak-anak dan temannya.
“Walaupun keseluruhan dialog dan cerita tidak sama secara keseluruhannya, saya mengakui isu yang dibangkitkan dalam cerita ini adalah kejadian sebenar.
“Saya menghargai kerja keras yang dilakukan oleh pasukan produksi kerana mampu meringkaskan cerita yang berpuluh tahun menjadi filem berdurasi 90 minit,” katanya.
Filem Anwar: The Untold Story bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula Khamis ini, 18 Mei.
Filem ini diterbitkan Biangalala Entertainment dan Yusrych Global Sdn Bhd, manakala DMY Creation selaku pengedar rasmi.