KUALA LUMPUR – Setiap orang punya inspirasi dalam melakukan sesuatu perkara tidak terkecuali buat penyanyi baharu, Adam Shamil.

Bagi menghargai orang yang sentiasa memberi inspirasi dan menjadi tulang belakangnya dalam bidang seni, penyanyi berusia 29 tahun ini mendedikasikan single terbaharunya berjudul Bantu khas buat nenek dan ibu.

Penama penuh Adam Shamil Misran, ini mengakui single Bantu dicipta istimewa buat menghargai pengorbanan nenek dan ibu yang sentiasa berada di sisinya selama ini.

Turut dibantu oleh Shazriq Azeman, Darien dan Omar K, single Bantu sangat istimewa kerana itulah untuk muzik videonya Adam turut menampilkan nenek dan ibunya sekali.

“Ini adalah single terbaharu saya yang diciptakan istimewa buat nenek dan ibu saya. Mereka sentiasa bersama saya selama ini dalam mengecapi impian bergelar anak seni.

“Apa sahaja yang saya lakukan mereka tidak putus-putus memberi sokongan dan dorongan. Tanpa mereka mungkin saya tidak berada di sini sekarang.

“Oleh itu terhasillah single ini dan saya juga berharap lagu ini turut dijadikan inspirasi buat mereka diluar sana untuk menghargai orang-orang yang mereka sayang,” katanya.

Tidak hanya mahu dikenali sebagai penyanyi, Adam juga bijak menggunakan peluang yang ada.

Tidak hairanlah selain menyanyi Adam juga turut aktif sebagai pengacara, pencipta kandungan digital, aktivis dan usahawan.

Malah Adam pernah dilamar oleh United International Pictures untuk menemubual pelakon dan pengarah filem Hollywood Pacific Rim: Uprising di Beijing, China.

Adam juga adalah personaliti digital pertama dari Sabah yang dipaparkan oleh Netflix untuk iklan komersial di seluruh negara.

Terdahulu, Single dan muzik video Bantu diterbitkan sepenuhnya oleh World Peace Entertainment Sdn Bhd.

Ia adalah hasil garapan dan suntingan sepenuhnya oleh pasukan produksi milik Adam yang berpusat di Kota Kinabalu.

Bantu sudahpun menemui peminat di semua stesen radio tempatan, laman YouTube serta laman sosial media seperti Instagram dan Tik Tok.

Lagu ini juga boleh didengari melalui penstriman diatas talian seperti Spotify, Joox, Apple Music dan lain-lain.

By Cynthia

Leave a Reply