KUALA LUMPUR – Presiden Pertubuhan Kebangsaan Nambikkai Malaysia (Nambikkai), Datuk Kalai Vanar menuntut Perdana Menteri campur tangan selesaikan tiga isu tanah rakyat yang diambil secara tipu.
Isu pertama yang dibangkitkan adalah 250 keluarga yang tinggal lebih 70 tahun di Kampung Jawa dengan membayar TOL dan cukai taksiran, namun oleh kerana Projek Lebuhraya Pantai Banting- Taiping, penduduk berkenaan terpaksa dipindahkan.
Pihak pentadbir tanah telah setuju penilaian tanah oleh penilai tauliah yang dicadangkan penduduk lalu mengeluarkan borang H, namun kemudian borang H itu dibatalkan dipercayai secara tipu dan mendakwa Pejabat Tanah dan Galian mahu bayaran dibuat lebih rendah mengikut harga lama.
Seramai 37 penduduk menerima pampasan mengikut apa yang dijanjikan namun bakinya masih tidak menerima apa-apa pampasan.
Isu kedua pula 13 pengusaha bengkel di Batu Caves yang telah bekerja sejak 27 tahun lalu dijanjikan oleh Menteri Besar Selangor untuk penempatan semula berikutan tanah mereka diperlukan untuk projek lebar parit bagi menghentikan punca banjir, namun sehingga hari ini tiada kawasan baharu disediakan untuk menggantikan tanah yang diambil.
Isu ketiga adalah nasib penduduk Kampung Pinang, Sungai Besi yang telah menetap sejak 1875 tetapi kemudian diusir oleh pemaju kondominium tanpa diberi rumah ganti atau pampasan setimpal.
Sehubungan itu, Nambikkai telah menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri pada Rabu untuk tindakan segera membela nasib rakyat bawahan yang tertindas dan kehilangan penempatan mereka tanpa pampasan setimpal.