KUALA LUMPUR – Ramai yang masih tidak tahu kewujudan kebanyakan produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) negara setanding di pasaran besar meskipun sudah bertapak setempat, sejak lebih 50 tahun.
Pihak Usanita Sdn Bhd (USANITA) berani mengambil langkah untuk mendedahkan produk berkenaan, ke pasaran lebih luas dengan mengajak mereka menjadi usahawan perintis USANITA, sekali gus mempromosi dan mengangkat kelebihan IKS di mata dalam dan luar negara.
Justeru, dengan USANITA Mall yang dilancarkan sepenuhnya pada Februari lalu, memberi peluang kepada perintis USANITA golongan B40 menggunakan platform berkenaan dengan memperoleh pelbagai manfaat dan pendapatan lebih tinggi.
Bukan itu sahaja, superstar negara, Datuk Rosyam Nor turut sudi memberi peluang menggunakan wajah selebritinya pada label pembungkusan bagi 50 produk perintis USANITA yang memberi tambah nilai (added value) kepada usahawan, secara eksklusif.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Seri Adzliana Hasan menolak bahawa USANITA Mall seperti lambakan produk di pasar malam, malah menyifatkan perkata itu tidak diketahui secara jelas selagi tidak melayari platform e-dagang berkenaan.
“Ramai orang pandang rendah pada produk IKS, dulu ada ikat getah sekarang dah cantik dengan ‘packaging’ baharu.
“Jadi, di USANITA Mall bukan rojak, tapi kita eksklusif, kita sendiri buat ‘branding’ mereka, kita buat packaging baharu, kita tak akan bagi mereka (perintis) buat. Jadi, kita tak akan ada lambakan produk macam di pasar malam.
“Dalam ‘mall’ ini, pihak USANITA perlu menjaga visual produk mereka supaya nampak kemas dan lebih menarik, memberi tunjuk ajar bagaimana visual yang baik dapat membantu penjenamaan mereka ketika berada di platform atas talian.
“Mereka juga sebenarnya perlu pengiktirafan, kerana ramai yang tidak tahu kewujudan mereka (wujud sudah lama tapi tidak diketahui umum), sedangkan produk mereka setanding dengan produk di pasaraya.
“Mereka tidak all out. Jadi, USANITA dengan kerjasama penjenamaan dan pendigitalan (selebriti Rosyam Nor), ia sangat membantu memberi perintis ini ‘mileage’ (kelebihan perniagaan),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Rumah Terbuka Aidilfitri USANITA di Hotel Pullman, di sini.
Turut hadir, selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari dan Zoey Rahman.
Adzliana yang mesra disapa Datin Nana itu turut menambah, ramai yang sudah mula membuka mata mengenali produk IKS bukan semata-mata jual kerepek tetapi juga tawaran perkhidmatan secara eksklusif, selepas mengenali USANITA.
“IKS bukan sekadar jual kerepek, tapi ada perkhidmatan seperti cuci rumah, fotografi, cuci bangunan, semua ada di USANITA Mall tapi hanya yang benar-benar eksklusif,” katanya yang mendedahkan USANITA kini mempunyai kira-kira 1,800 perintis dan akan meluaskan pasaran ke Kepulauan Borneo akan datang.
Pada perkembangan sama, Adzliana berkata, pihaknya akan mengadakan majlis apresiasi kepada perintis USANITA terpilih, berdasarkan laporan kewangan IKS yang berjaya mencecah jualan sehingga RM300,000.
“Kita akan ada 10 kategori, satu sebagai juara, membawa pulang wang tunai, dan kita akan beri geran daripada kementerian tertentu, kerana kita mahu mereka bukan sahaja mendapat pendedahan menerusi anugerah tetapi jaringan perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Rosyam berkata, pembabitannya sebagai rakan selebriti strategik dan duta kempen untuk kempen e-dagang USANITA Mall itu, adalah selari dengan niat USANITA membantu usahawan IKS terjejas terutama ketika pandemik, ke peringkat lebih tinggi.
“Biarlah muka saya bertepek 1,000 (produk), saya tak kisah, mereka tolong saya, saya tolong mereka. Ia antara peminat dan selebriti.
“Tetapi ada syaratnya, bukan suka-suka,” katanya yang mengikat kontrak penjenamaan percuma secara setahun bersama 50 perintis USANITA.