KUALA LUMPUR – Meskipun sebagai seorang artis veteran berpengalaman berpuluh tahun dalam industri hiburan, Jaafar Onn tetap tidak terlepas daripada kecaman netizen.
Mesra disapa Papa, Jaafar, 72, tetap menerima komen berbaur negatif daripada netizen kerana didakwa seolah tidak sedar diri kerana aktif di platform media sosial yang banyak dikuasai anak muda, Tiktok.
Bagaimanapun, perkara itu tidak memberi kesan di hatinya, untuk terus bersemangat dalam meneruskan sesi ‘live’ di TikTok.
Baginya, pelakon, pelawak, dan pengacara itu tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana niatnya sekadar mencari rezeki.
Jaafar ketika ini aktif mempromosikan sebuah restoran, Nasi Kukus Tonggek di platform berkenaan.
“Saya tidak kekok untuk aktif dan buat ‘live’ di media sosial. Walaupun orang cakap macam-macam, saya terima seadanya.
“Kalau ada orang kata jangan buat ‘live’ kerana usia sudah lanjut, saya tidak peduli. Apa yang saya buat adalah kerja saya.
“Kalau ada orang kecam sekalipun, bagi saya, hanya satu peratus sahaja. Ada juga netizen suruh saya berehat sahaja. Namun, dalam hidup ini, ada masa untuk kita berehat dan mencari duit.
“Kalau sentiasa berehat, siapa pula mahu beri kita duit?” katanya.
Pelakon drama popular, Cili Padi itu berkata, yang penting apa yang dilakukannya itu kerana Allah SWT.
“Saya boleh bertahan kerana semuanya datang daripada Allah, bukan siapa-siapa.
“Dekatkan diri kita dengan Allah. Sentiasa ikhlas dan jujur kerana itu adalah tonggak utama kita,” katanya yang sebagai duta pada majlis pelancaran cawangan baharu restoran Nasi Kukus Tonggek di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, di sini.
Sementara itu, mengulas tahap kesihatan sekarang, Jaafar menjelaskan, semuanya dalam keadaan baik biarpun masih sakit lutut.
“Biasalah orang tua-tua. Sakit itu sudah lama. Doktor nasihatkan saya supaya tidak berjalan terlalu laju dan elak terjatuh. Saya perlu berhati-hati, biar lambat asal selamat.
“Berehat itu perlu, tapi bekerja juga perlu diteruskan. Ketika ini, saya amalkan pemakanan sihat dan ambil makanan ikut keperluan sahaja,” katanya.