Foto Rafi FINAS

KUALA LUMPUR – Hampir 15 tahun menanti dan mengambil masa bagi memastikan filem Syaitan Munafik siap, penerbitnya, Datuk Mohd Rusdi Shair menarik nafas lega apabila filem pertamanya itu bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Mohd Rusdi berkata, beliau lega penantian yang agak lama itu akhirnya berbaloi apabila filem yang menampilkan ramai pelakon hebat itu akan ditayangkan tahun ini.

“Alhamdulillah saya lega akhirnya filem ini bakal ditayangkan meskipun melalui banyak perkara termasuklah perlu mengolah skripnya supaya sesuai dengan perkembangan dan keadaan sekarang.

“Saya akui perlu menambah kos penggambaran meskipun ada yang mencadangkan saya membuat filem baharu sahaja,” katanya ketika ditemui pada majlis Aidilfitri dan pelancaran trailer filem berkenaan baru-baru ini.

Mohd Rusdi berkata, kos bukanlah masalah utama apa yang penting filem ini berhasil dibawa ke pawagam.

“Saya melalui banyak perkara ketika hendak menyiapkan filem ini, ditambah ramai pelakon yang terbabit sehingga ada yang sudahpun meninggal dunia.

“Kita menghargai mereka yang sama-sama terbabit menjayakan filem ini kerana itu saya tetap meneruskan untuk menayangkan filem ini,” katanya lagi.

Syaitan Munafik diterbitkan oleh United Nine Creative (UNC) dan dibintangi oleh Allahyarham Ashraf Sinclair, Datuk Jalaludin Hassan, Bandi Amuk, Wom UG14, Reedzwan, ERIN CTJ, Affie Rania, Adia Siti Khadijah dan ramai lagi.

Pada majlis sama turut diadakan penyerahan memorandum persefahaman kerjasama dari UNC kepada Pengerusi P3K, Dr Noor Haliza Yussoff bagi mencari Dana untuk mereka yang memerlukan khususnya dalam penjagaan kesihatan.

Turut diadakan pelancaran Teaser filem Syaitan Munafik yang turut dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Prof Dr MD Nasir Ibrahim.

Dalam pada itu, Mohd Rusdi juga teruja apabila filem itu bakal ditayangkan di Indonesia dan beberapa negara lain.

“Kita akan adakan pelancaran filem ini di Indonesia tetapi akan menayangkannya terlebih dahulu.

“Kita belum tetapkan akan tayang dimana dahulu, tetapi buat masa ini kita mendapat permintaan untuk ditayangkan di Indonesia,” katanya lagi.

By Cynthia

One thought on “Tepis pandangan negatif, Rusdi yakin filem Syaitan Munafik berjaya tarik penonton”

Leave a Reply