editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Sejak Kerajaan Perpaduan terbentuk pada November 2022 di susuli dengan Belanjawan 2023 Malaysia Madani, penekanan terhadap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) nampaknya diberi perhatian khusus oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung, Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohammad Rizan Hassan berkata, kesungguhan dan keazaman kerajaan dengan sokongan industri, institusi latihan, masyarakat dan NGO di yakini mampu memartabatkan TVET negara di tahap yang terbilang dan berupaya bersaing di pentas antarabangsa.
“Walaupun usaha bersepadu itu bergerak pantas, namun isu-isu berkaitan TVET juga perlulah diselesaikan dengan segera agar ianya tidak memberi kacau ganggu kepada hasrat kita melahirkan tangan-tangan emas negara untuk keperluan industri.
“Menjelang keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang akan di umumkan pada 8 Jun ini, kita melihat tidak ada promosi besar-besaran mengenai TVET sebagai pilihan utama kepada lepasan SPM, tetapi kita di momokkan dengan laporan lepasan sekolah menengah tidak minat melanjutkan pelajaran.
“Hakikatnya, kita tidak menyediakan platform yang jelas kepada belia lepasan sekolah untuk melihat dan merancang hala tuju masa depan mereka termasuk kerjaya yang bakal di ceburi,” katanya dalam satu kenyataan media.
Mohammad Rizan berkata, kita seolah-olah membiarkan generasi muda terkapai-kapai tanpa bimbingan yang sewajarnya.
“Industri pula sering mengeluh tentang kekurangan tenaga kerja hinggakan terpaksa bergantung kepada pekerja asing namun hakikatnya tidak secara agresif menawarkan diri untuk membantu kerajaan menerajui TVET seperti yang dihasratkan oleh kerajaan.
“Penekanan latihan TVET diterajui industri nampaknya tidak di fahami dan kerajaan perlu segera membangunkan kerangka pembangunan latihan yang baru dan segar dalam era moden ini.
“Institusi latihan berdepan dengan kesukaran meneruskan operasi kerana kos bahan guna habis untuk latihan amali naik mendadak,” katanya.
Katanya, pendekatan “hands-on” sukar di laksanakan yang akhirnya menyebabkan pendekatan teorikal sepenuhnya di guna pakai.
Kesannya, industri memberi maklumbalas bahawa graduan TVET tidak menepati keperluan set kemahiran industri.
“Untuk itu, kerajaan perlu menyediakan bantuan kewangan atau geran pembangunan latihan kepada institusi latihan TVET agar mereka mampu menyediakan prasarana dan kemudahan latihan yang berteknologi terkini dan menepati keperluan industri.
“Dalam masa masyarakat berhadapan dengan kemuraman ekonomi, bantuan pembiayaan latihan secara percuma perlu di perbanyakkan.
“Walaupun wujudnya bantuan bersifat pinjaman latihan kemahiran di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), namun ianya bukan lagi pilihan utama masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, dalam hal ini, selain PTPK, pihak Yayasan Pelajaran dan Pusat Zakat atau Baitulmal setiap negeri perlu bergerak menyediakan sokongan bantuan penuh kewangan kepada kumpulan sasar untuk memilih TVET sebagai pilihan kesejahteraan ekonomi kerana TVET juga adalah salah satu intervensi sosial dan ekonomi.
“Sambutan Hari TVET Negara yang di sambut pada 2 Jun setiap tahun tidaklah semeriah sambutan lain, ternyata itulah penghormatan yang diberikan kepada insan-insan tangan emas negara kita.
“Justeru, hargai mereka kerana Malaysia hanya akan bangkit jika TVET di arus perdanakan dalam segenap aspek,” katanya lagi.