editor@aatvnews.com

KUALA LUMPUR – Terus prihatin dalam membantu penggiat seni, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) baru-baru ini melancarkan program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’.

Program itu turut dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Pengerusi RIM, Rosmin Hashim berkata, di bawah program ini, pengamal industri muzik terdiri daripada penyanyi, pemuzik, pencipta lagu sehinggalah pegawai perhubungan awam syarikat rakaman yang menghadapi kesusahan akibat pelbagai faktor boleh memohon bantuan kewangan daripada sumbangan Rahmah yang baru ditubuhkan itu.

“Program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’ adalah pengembangan Dana Kecemasan kami sebelum ini yang ditubuhkan untuk menyediakan bantuan kewangan segera kepada pengamal industri muzik yang mengalami masalah kewangan akibat wabak covid yang melanda seluruh negara sebelum ini.

“Melalui Dana Kecemasan RIM, kami telah berjaya memberikan bantuan kewangan kepada Man Kidal (Lefthanded), Kid (Search), Mel (Wings), Zydee (One Nation Emcees), Roslan Aziz, Ross Ariffin dan ramai lagi,” katanya.

Rosmin berkata, terdapat keperluan untuk mengembangkan Dana Kecemasan RIM kerana pengamal industri muzik terus menghadapi banyak kesukaran walaupun selepas wabak itu.

“Kami prihatin tentang nasib artis veteran yang bergelut untuk menampung kehidupan serta mereka yang memerlukan bantuan untuk membayar bil perubatan mereka yang banyak.

“Kami amat bersyukur kerana kami berjaya mendapatkan sokongan pembiayaan daripada Public Performance Malaysia Berhad (PPM), Pertubuhan Pengurusan Kolektif tertua di Malaysia untuk program amal ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’ dengan pembiayaan tahunan sebanyak RM100,000,” katanya.

Katanya, seperti Dana Kecemasan RIM sebelum ini, pihaknya akan mematuhi parameter dan syarat yang ditetapkan dalam penyaluran bantuan kewangan daripada dana ‘Sumbangan Rahmah Industri Muzik’ kepada pemohon yang layak.

“Semua permohonan akan tertakluk kepada semakan dan kelulusan Jawatankuasa program amal ini yang terdiri daripada ahli Majlis RIM.

“Kami berharap program amal ini akan membantu membawa sedikit kelegaan kepada pengamal industri muzik yang sangat memerlukan bantuan kewangan.

“Sumbangan Rahmah Industri Muzik ini juga selari dengan inisiatif Payung Rahmah yang dicetuskan oleh Datuk Seri Salahuddin Ayub, bagi membantu membiayai kos sara hidup rakyat.

“Kami amat berbesar hati Salahuddin dapat merasmikan pelancaran program amal RIM ini. Permohonan untuk bantuan kewangan boleh dikemukakan mulai 1 Jun di halaman khusus dalam laman web RIM,” katanya.

Pada majlis sama seramai 10 penggiat seni menjadi penerima pertama yang menerima sumbangan sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Salahuddin.

Mereka ialah Ibnor Riza, Zaiton Sameon, Rahim Maarof, Ali (XPDC), Sazali P Ramlee, Datuk Ooi Eow Jin, Ben Nathan, Huang Jun Tian, Zaleha Hamid dan Shima.

By Cynthia

Leave a Reply