editor@aatvnews.com
KUALA LUMPUR – Sempena kemunculan Anugerah Telenovela yang bakal diadakan untuk kali ke-9 tahun ini, penonton diberi peluang mengundi sambil menderma sekaligus menerima hadiah cabutan bertuah.
Ketua Pegawai Operasi Intact Media Sdn Bhd, Hafidz Sudirman berkata, sebagai penganjur yang diberi mandat oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), pihaknya terpanggil untuk memberi penghargaan itu kepada penonton atas sokongan mereka selama ini terhadap anugerah berkenaan.
“Sempena penganjuran kali ke-9 anugerah ini, kami terpanggil untuk memberikan sesuatu kepada penonton. Jika selama ini mereka hanya sekadar mengundi, tahun ini kami beri hadiah pula kepada mereka.
“Disamping itu, setiap undian yang bermula serendah RM1.50, beberapa peratus daripada setiap nilai jumlah undian akan disumbangkan kepada YPBN.
“Kepada yang selama ini sering mengundi dan tidak pernah berhenti mengundi artis kesayangan mereka untuk Anugerah Telenovela bolehlah berbuat demikian segera.
“Hadiah bonanza menarik seperti Perodua Myvi, percutian ke Tokyo, Jepun, gajet dan wang tunai menanti anda,” katanya.
Hafidz berkata, 10 pemenang bertuah bakal dijemput menghadiri malam anugerah yang dijangka berlangsung pada November tahun ini.
Terdahulu, sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang berlangsung di WTC, KL minggu lalu, pengunjung diberi peluang menyertai undian dan cabutan bertuah serta ada yang berjaya memenangi cabutan bertuah berupa wang tunai.
Setiap hari dua pemenang dipilih dan pada hari terakhir dua pemenang bertuah masing-masing berjaya mendapat RM1,000 seorang.
Sebarang info atau keterangan lanjut layari laman web www.telenovela.my.
Sebanyak 46 calon karya adaptasi novel ke telenovela (drama bersiri), telefilem dan filem bagi tayangan dari Januari hingga Disember 2022, dipertandingkan pada Anugerah Telenovela kali ini.