KAJANG – Kerajaan Selangor bersedia menyegerakan dua projek utama negeri di Klang, membabitkan rancangan mitigasi banjir bernilai RM222 juta dengan pelaksanaan semua agensi bertanggungjawab.
Kedua-dua projek berkenaan masing-masing ialah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kapar Kecil dan Kapar Besar serta RTB Sungai Batu Enam.
EXCO Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja negeri, V Ganabatirau berkata, beliau dimaklumkan perbelanjaan kos bagi kedua-dua projek jangka panjang itu ditanggung oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat secara berasingan.
“RTB Batu Enam dengan kos RM15 juta yang akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor, dan dijangka siap dalam masa 24 bulan.
“RTB Sungai Kapar Kecil dan Kapar Besar dengan kos belanja RM217 juta yang akan ditanggung oleh Kerajaan Pusat dan dijangka siap dalam masa 72 bulan,” demikian katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.
Ganabatirau berharap semua agensi berkaitan, bertanggungjawab dan bertindak segera dalam menyiapkan projek mitigasi banjir.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu bersama Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melawat kawasan Bukit Rajah, Klang yang juga kawasan banjir.
Untuk rekod, pembinaan kolam takungan dwifungsi bagi tebatan banjir dan sumber bekalan air mentah di Sungai Rasau dan Sungai Klang, Selangor antara enam projek tebatan banjir ditender semula oleh kerajaan pusat selewatnya Jun tahun ini, bagaimanapun ia tiada suntikan tunai kerajaan negeri.